Inkues Kematian Adib: Kewibawaan Tommy Terus Dipertikai
KUALA LUMPUR 31 Mei – Pelbagai pihak terkejut dengan berita arahan penarikan diri peguam Syazlin Mansor dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim sehingga menimbulkan tanda tanya adakah nasib penjawat awam itu akan terbela.
Penjelasan Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa wujud konflik apabila Syazlin bersetuju mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan masa sama turut mewakili keluarga Allahyarham menyebabkan ramai pihak merasakan Tommy campur tangan dalam proses yang sedang berlangsung.
Perkara itu turut mendatangkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan mempersoalkan apakah sedang berlaku dan keupayaan Tommy dalam isu yang terjadi.
Berikut adalah kenyataan penuh Reezal Merican:
Keadilan Untuk Allahyarham Adib Yang Terus Tertangguh. Sampai Bila Tommy Thomas Dibenarkan Berperanan Sebagai Tok Dalang?
Masyarakat umum cukup terkejut dengan berita penarikan diri peguam yang terlibat dalam perbicaraan kes Allahyarham Muhammad Adib. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Ada pihak yang mengeluarkan ‘kuku tajam’ dalam mengatur kes dalam ruang perundangan?
Mungkin ini agaknya ‘norma’ dan nilai baharu Malaysia. Kelihatan macam ada usaha ‘susun dan atur’. Susunan dan aturan ini untuk menyelamatkan siapa?
Terus terang, kewibawaan dan integriti Peguam Negara semakin merosot. Pejabat Peguam Negara seperti tenggelam punca. Rakyat amat keliru apabila pejabat Peguam Negara mengeluarkan afidavit yang mengatakan Allahyarham Muhammad Adib tidak dipukul, walaupun proses inkues masih berlangsung.
Andai inilah contoh ‘rule of law’ yang dicanang-canangkan, Tommy Thomas sudah menjadi liabiliti besar kepada Pejabat Peguam Negara dan kerajaan.
Ini bukan kali pertama saya mendesak Tommy Thomas meletakkan jawatan. Jika terlalu degil, usahakanlah agar Tommy Thomas ini segera dipecat.
Rasanya beban tanggungjawab sebagai Peguam Negara ini terlalu besar untuk Tommy. Kesetiaannya kepada Raja dan Negara – diragui. Keikhlasannya kepada keluhuran Perlembagaan – mengundang rasa was-was dan bimbang berterusan.-UTUSAN ONLINE