AG Harus Berkredibiliti… Inkues Adib Seolah Ada Agenda Belakang Tabir
KUALA LUMPUR, 31 Mei- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan institusi Peguam Negara seharusnya berkredibiliti tinggi dan tidak wajar dinampakkan dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut semasa bertugas ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, tahun lalu.
Katanya, tindakan Tommy Thomas campur tangan dalam fasa demi fasa prosiding awal kes ini, memberi gambaran seolah-olah ada ‘agenda belakang tabir’ sedang berlaku yang menjadi tanda tanya umum.
“Tommy adalah Peguam Negara pertama di bawah kerajaan Malaysia Baru dan imej baru yang sepatutnya dibawa oleh beliau adalah membiarkan ketelusan undang undang menentukan proses hala tuju kes Adib, bukannya cuba “menjatuhkan hukuman awal’ kepada kes ini melalui permohonan afidavit serta arahan pertukaran peguam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bidas beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, satu demi satu percanggahan tindakan yang berlaku, seolah-olah memperlihatkan ada sesuatu yang mahu disembunyikan, dan jika benar ini berlaku, apakah ia baik untuk imej Jabatan Peguam Negara?
“Inikah wajah perundangan negara di bawah Malaysia Baru?
“Tommy harus sedar bahawa tragedi kematian Adib sejak awal lagi adalah satu kes sensitif, sehingga menyebabkan beberapa badan bukan kerajaan bertindak menyerahkan memorandum kepada kerajaan supaya seorang menteri dan seorang timbalan menteri, dipecat kerana dilihat menyebelahi pengurusan kuil.”
Katanya, jika tidak diurus dengan baik, ia boleh berubah menjadi isu rasis.
“Di atas senario ini, jika Tommy sendiri dilihat bias atau melakukan sesuatu tindakan yang prejudis kepada kes, adalah tidak relevan untuk kes ini dikendalikan oleh Tommy atau pasukan Tommy dan sebaiknya diurus oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI).”
Tegas beliau, sudah terlalu lama kes ini tergantung keputusannya.
“Harus diingat Adib tidak minta kematiannya jadi sebegini. Dia seorang anggota bomba yang baik dan ke tempat kejadian dengan niat mahu memadamkan api, menyelamatkan nyawa dan membantu mangsa kebakaran di sebuah kuil.
“Kenapa kita yang masih hidup ini, menyulitkan proses keadilan untuk beliau, diperolehi?” – MediaUMNO