Khaled Bidas ADUN Dap… Bangsa Malaysia Citra Dap Tolak Sistem Pendidikan Kebangsaan?

JOHOR BAHRU, 30 Mei – Dasar kebudayaan apa yang akan menzahirkan Bangsa Malaysia citra Dap apabila pendirian Dap secara tidak langsung menolak sistem pendidikan kebangsaan dengan memperjuangkan pengiktirafan UEC, bidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Dap, Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusuf.

Katanya, lihat sahaja bagaimana Dap dicorakkan kerana tidak kedengaran pun Dap akan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan malah kalau setakat menggunakannya dalam perhimpunan agung tahunan dengan seorang dua pengucapnya, adakah ia komitmen yang cukup untuk merealisasikan Bangsa Malaysia?

Berikut adalah kenyataan penuh Khaled:

1. Saya sangat senang sekali melihat pelbagai reaksi pelbagai pihak terhadap hujah saya tentang Bangsa Malaysia dan betapa ia adalah ideals yang tidak akan menjadi realiti.

2. Ramai yang menyanggah saya dan saya terbuka dengan kritikan mereka. Ramai juga yang mengakui rasional hujah saya.

3. Yang pasti, ia telah membuka ruang untuk kita memperkatakan dengan terbuka, suatu konsep yang selama ini digunakan tanpa perdebatan. Nah sekarang ia mula diperdebatkan.

4. Pada kesempatan ini saya ingin menjawab sanggahan ADUN Dusun Tua daripada Dap, YB Edry Faizal Eddy Yusuf tentang kenapa saya memperakui konsep Bangsa Johor dan tidak Bangsa Malaysia.

5. Pertama, konsep Bangsa Johor adalah slogan perpaduan. Ia dimulakan oleh DYMM Sultan Sir Abu Bakar untuk menyatupadukan semua rakyat, yang bernaung di bawah pemerintahan Baginda.

6. Ia bukan tentang kesaksamaan hak dan status. Ia adalah slogan untuk meraikan kepelbagaian Johor dan sesiapa jua yang tinggal, bermastautin di Johor, bernaung di bawah pemerintahan institusi Di-Raja Johor dan menyumbang kepada kemajuan serta pembangunannya – demikian adalah amat penting dalam membentuk Johor sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

7. Ia juga merupakan satu naratif antropologi dan sosiologi yang ampuh, yang secara langsung pada waktu itu, telah menghalang daripada anasir pemikiran penjajah merebak ke negeri ini.

8. Lalu untuk mengungkapnya, digunakan lah slogan Bangsa Johor dengan tujuan mengukuhkan rasa kepunyaan kepada Johor dan ciri kehidupannya.

9. Bangsa Johor bukan sama sekali tentang berbahagi hak yang sama, bukan juga tentang berbahagi keistimewaan jika seseorang itu menetap di Johor.

10.Ia adalah sama seperti konsep Satu Malaysia. Ia adalah slogan perpaduan dan bukan ideologi nasional dengan tujuan pelaksanaan melalui pelbagai projek sosio-budaya yang bermatlamatkan kesamarataan hak dan kepentingan untuk semua bangsa.

11.Ia berbeza sekali dengan Malaysian Malaysia. Malaysian Malaysia adalah ideologi parti dan dijadikan doktrin kesaksamaan yang mesti dilaksanakan sebagai matlamat akhir. Agar akhirnya terbentuk sebuah negara yang bebas dari ketidaksamarataan dari segi apa jua.

12.Kedua, amat dangkal apabila beliau mengatakan sejarah Malaysia harus dilihat sewaktu penubuhannya. Ia harus dilihat jauh sebelum itu, menyelusuri peradaban Melayu-Islam di Nusantara untuk mengambil hikmah atas tatakelola mereka sebagai sebuah peradaban yang gemilang.

13.Ini kerana, bagi mewujudkan sebuah perpaduan nasional yang ampuh, ia harus didasari oleh bangsa Melayu dan ke-Melayuannya, agar ikatan perpaduan yang terbentuk itu tidak longgar dan tidak senang untuk diceraikan.

14.Secara pragmatik, kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa, keabsahan identiti politik Malaysia sebagai sebuah negara itu berasal dari budaya Melayu sebagai budaya penakrif.

15.Lihat argumen ahli falsafah ulung negara, Prof. Syed Naquib Al-Attas dalam hujahan beliau berkenaan hal demikian. Ia merupakan sebuah karya dan hujahan yang perlu dilihat kembali dalam konteks Malaysia Baharu kini.

16.Ini tidak bermakna bahawa hanya orang Melayu sahaja yang perlu menjayakan projek ini. Cuma, ia harus mengambil kira secara serius bangsa Melayu, budaya dan agamanya yang merupakan antara formula asas yang utama kepada penubuhan Malaysia.

17.Ini boleh berlaku melalui pengukuhan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang menyatukan kita semua.

18.Ketiga, benar konsep Bangsa Malaysia diungkapkan dalam Wawasan 2020 dan diceritakan dalam teks sejarah negara.

19.Tetapi selain dari diungkap dalam Wawasan 2020 dan dilancarkan pada 1991, hampir 30 tahun dahulu, apakah natijah dan kejayaan signifikan dari pelaksanaannya?

20.Sepanjang 22 tahun memerintah Malaysia, apa yang Tun Mahathir lakukan untuk menjayakan Bangsa Malaysia. Projek nasional yang bagaimana yang telah beliau laksanakan untuk menjayakan konsep tersebut.

21.Semenjak ia mula diungkapkan, dengan berani saya katakana bahawa ia adalah hanya retorik dalam sebuah wawasan tanpa tujuan untuk dilaksanakan secara tuntas kerana Tun Mahathir mengetahui bahawa ia adalah kehendak yang tidak mungkin menjadi realiti.

22.Ia adalah satu konstruk yang gagal untuk dijayakan selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri. Masakan ia boleh dijayakan sekarang?

23.Kerana itu, sepanjang pemerintahannya sebelum ini, tiada dasar khusus pembentukan Bangsa Malaysia dilaksanakan.

24.Lihat pula teks sejarah kita. Adakah ia melakarkan dengan jelas bagaimana konsep bangsa Malaysia itu dijayakan dan impaknya kepada kesatuan nasional. Yang ada adalah penerangan bahawa konsep itu adalah satu matlamat yang diungkap dalam Wawasan 2020.

25.Keempat, nyatakan bagaimana DAP akan melaksana konsep Bangsa Malaysia ini jika ia memerintah. Apa ia akan dicirikan dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa penyatuan dan resmi secara total.

26.Atau dicirikan dengan satu sistem pendidikan nasional yang menjurus kepada satu aliran kebangsaan?

27.Atau membangunkan kebudayaan nasional dengan asas yang meletakkan kebudayaan Melayu sebagai teras?

28.Atau konsep bangsa Malaysia ini hanya tentang kesamarataan hak dan kesaksamaan sosial semata tanpa mengira bebanan sejarah dan realiti sosiopolitik negara?

29.Lihat sahaja bagaimana Dap dicorakkan. Tidak kedengaran pun Dap akan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Kalau setakat menggunakannya dalam perhimpunan agung tahunan dengan seorang dua pengucapnya, adakah ia komitmen yang cukup untuk merealisasikan Bangsa Malaysia?

30.Malah akuilah, keupayaan bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dikalangan bukan Melayu adalah sangat lemah secara amnya.

31.Jadi Bangsa Malaysia apa yang akan terbentuk jika tidak dicirikan dengan satu Bahasa Kebangsaan yang ampuh?

32.Lihat sahaja pendirian Dap berkaitan sistem pendidikan kebangsaan. Dap dengan memperjuangkan pengiktirafan UEC, secara tidak langsung menolak sistem pendidikan kebangsaan.

33.Malah tidak pernah terdengar oleh saya, pendirian Dap tentang sistem pendidikan kebangsaan dan bagaimana untuk memperbaikinya kecuali pelbagai kritikan yang senantiasa merendahkan-rendahkan

34.Nah Bangsa Malaysia apa yang akan anda lahirkan tanpa sistem pendidikan kebangsaan yang diterima semua. Bagaimana akan kita olah kelahiran bangsa Malaysia
ini bila anak-anak kita tidak pun pergi ke sekolah yang sama. Tetapi dipisahkan melalui sistem dengan Bahasa pengantar yang berbeza dan sukatan pelajaran berbeza.

35.Dasar kebudayaan apa yang akan menzahirkan Bangsa Malaysia citra Dap ini. Bahawa semua budaya harus menjadi teras budaya Malaysia? Mana mungkin budaya masyarakat pribumi diletakkan setara dengan budaya lain.

36.Kerana itu hujah saya sangat jelas. Bahawa konstruk bangsa Malaysia itu adalah sesuatu yang idealistik. Diungkap senang, namun tidak mungkin boleh dilaksanakan dengan ciri dan karakter Malaysia yang sangat pelbagai.

37.Lalu dari membuang masa untuk mencapai sesuatu yang tidak mungkin berhasil dalam waktu dan saat ini, maka kita harus mencari sesuatu yang lebih pragmatik, iaitu melahirkan warganegara Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab dengan meraikan kemajmukan kita sebagai sebuah negara demokrasi multibudaya.

38.Amatlah elok jika wacana mengenai pembawakan Naratif Malaysia yang baharu ini digiatkan lagi oleh semua. Agar ia benar-benar adil kepada segenap masyarakat dan tidak hanya merealisasikan imaginasi politik sesetengah parti sahaja. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.