Inkues Adib: Percaya Ada ‘Tangan Ghaib’ Cuba Selamatkan Pihak Tertentu – Noh

TANJONG KARANG 27 Mei – Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar percaya, arahan agar peguam Syazlin Mansor menarik diri pada saat akhir inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim ada kaitan dengan usaha ‘tangan ghaib’ menyelamatkan pihak tertentu.

Beliau yang kecewa dengan senario itu berkata, perkembangan tersebut juga memperlihatkan ada pihak-pihak tertentu baik di peringkat kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mahupun di Jabatan Peguam Negara sendiri cuba main politik di sebalik kematian Muhammad Adib, akibat rusuhan kuil tahun lalu.

Selaku bekas menteri yang menjaga kebajikan anggota bomba Noh berkata, beliau mengikuti perkembangan inkues dan mendapati perkara dibangkitkan Syazlin sewaktu prosiding sangat bagus terutama apabila membawa saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Dr. Shahrom Abd. Wahid.

Malah tegas Noh, selaku seorang peguam, beliau juga mendapati kenyataan Dr. Shahrom jauh lebih meyakinkan bawa Muhammad Adib mati akibat dipukul berbanding keterangan yang diberikan saksi ke-24 iaitu Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.

“Isu ini (tarik diri) timbul berikutan usaha Syazlin memohon kepada Mahkamah Koroner untuk memanggil semula Dr. Shahrom untuk menerangkan kembali kenyataannya kerana kenyataan itu sangat penting.

“Keadilan kepada Adib ini jangan dipolitikkan dan jangan ada tangan-tangan ghaib yang hendak menyelamatkan pihak tertentu,” katanya.

Semalam, Syazlin membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri daripada terus mewakili KPKT dan ia dikaitkan dengan ada arahan daripada ‘tangan ghaib’ kerana difahamkan ada surat arahan oleh pihak tertentu selepas peguam itu dikatakan begitu tegas dalam mencari keadilan untuk Muhammad Adib.

Susulan penarikan tersebut, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin memaklumkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues berkenaan kerana Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri akan mewakili KPKT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam pada itu, Noh berharap Syazlin meneruskan perjuangannya menegakkan keadilan kepada Muhammad Adib.

“Biarlah dia (Syazlin) berhenti daripada mewakili kementerian tetapi teruslah menjadi peguam untuk mewakili keluarga Adib, sekaligus meneruskan perjuangan menegakkan keadilan kepada Adib,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.