‘Naratif Malaysia’: Tiada Bangsa Malaysia, Tetapi Rakyat Malaysia

BEBERAPA hari lalu, Ahli Parlimen Kluang telah mengeluarkan satu tulisan yang bertajuk ‘Perpaduan jadi titik pertemuan Malaysia Baharu’.

2. Di dalam tulisan tersebut, beliau menyatakan bahawa konsep Bangsa Malaysia perlu digiatkan oleh pihak media, terutamanya bagi mewujudkan sebuah ‘Naratif Malaysia’ yang baharu.

3. Namun begitu, beliau gagal untuk memberikan takrifan bagaimana Bangsa Malaysia itu harus dimaknakan, apa lagi bagaimana ia harus dilaksanakan.

4. Untuk merealisasikan konsep Bangsa Malaysia adalah amat mustahil sekali. Ia adalah retorik politik yang sedap diungkap untuk menjadi halwa telinga. Namun karakter Malaysia, seawal terbentuknya negara ini, ialah kemajmukan berbangsa, berbudaya dan beragama. Ini kerana setiap daripada warganegara Malaysia dibezakan dengan agama, bangsa, pengalaman politik serta bahasa yang pelbagai.

5. Maknanya, rakyat negara ini tidak pernah melalui proses untuk diasimilasikan sebagai sebuah bangsa. Kerana parti pemerintah kita sedari awal lagi memahami bahawa pemikiran, perwatakan dan citra pelbagai bangsa di negara ini harus dikekalkan sebagai identiti tersendiri tetapi di satu dan diikat melalui rasa kepunyaan kepada watan.

6. Lalu apa yang terbentuk ialah kewarganegaraan Malaysia yang dicirikan sebagai rakyat Malaysia. Bukan pembentukan sebuah bangsa dengan nama, identiti dan budaya yang seragam!

7. Tujuannya ialah kerana kita tidak mahu mencipta sebuah ‘Naratif Malaysia’ yang membutakan mata ramai rakyat terhadap kepelbagaian yang ada. Kita mahu keunikan berbangsa, berbudaya dan beragama diraikan, dihormati dan dilestarikan. Kita juga tidak mahu ‘Naratif Malaysia’ terang-terangan menolak budaya Melayu dan agama Islam sebagai faktor penting dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa moden.

8. Saya menyarankan YB Saudari untuk melihat kembali hujah-hujah dari Prof. Syed Naquib Al-Attas bersama YB Lim Kit Siang berpuluh tahun dahulu, apabila kedua-dua mereka berdebat mengenai konsep Bangsa Malaysia dalam konteks negara yang majmuk ini. Nyata dari debat tersebut, konsep membentuk Bangsa adalah evolusi budaya dan kehidupan yang sangat panjang dan sangat sukar. Ini adalah kerana identiti sesuatu bangsa itu unik, terbentuk dengan ciri dan pemikiran tersendiri dan tidak dapat dijelmakan melalui hanya dengan pelaksanaan sesuatu dasar.

9. Suka saya mencadangkan agar ‘Naratif Malaysia’ yang baharu yang digembar-gemburkan oleh Kerajaan PH haruslah berpandukan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan terdahulu. Ia merupakan hasil resolusi daripada Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Ini kerana, resolusi tersebut adalah penzahiran kepada realiti politik dan sosial negara, sebagai asas yang harus diakui oleh semua. Intipati resolusi tersebut adalah:

a) Kebudayaan kebangsaan hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal di rantau ini,

b) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima dan,

c) Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.

10. Seperkara lagi yang mesti diutamakan dalam membangun ‘Naratif Malaysia’ ini ialah melahirkan melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan beradab. Tanpa warganegara yang bertanggungjawab, patriotik, rasional, berbudi dan matang, amat sukar bagi Malaysia melangkah ke hadapan dalam dampak globalisasi yang kian mencabar kini.

11. Telah sampai masanya kita memperincikan atribut ‘good Malaysian citizenry’ daripada membicarakan ideals bangsa Malaysia yang kompleks dan mustahil untuk dizahirkan. Apalagi semenjak Kerajaan PH memerintah, kesepaduan negara ini menjadi semakin rapuh.

12. Lihat sahaja bagaimana Sabah dan Sarawak sudah menjadi semakin menjauh dengan retorik kenegerian yang semakin ekstrim dan menebal. Dalam lanskap patriotisme Malaysia yang semakin mencabar ini, dengan kemunculan retorik kenegerian yang semakin menebal, kita tidak langsung melihat respon Kerajaan PH untuk menanganinya. Apa akan dibiarkan sahaja pihak-pihak tertentu meneruskan nyalaan sentimen ‘Sarawak Merdeka’ atau ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ dan sebagainya, tanpa ada usaha konkrit untuk memadamnya.

13. Bersandarkan hujah di atas, saya menyarankan agar DAP melupakan konsep Malaysian Malaysia yang menjadi ideologinya selama ini. Ia kerana realitinya, tiada bangsa Malaysia boleh terbentuk di tanah air kita ini kerana sedari awal, Malaysia adalah negara multicultural dan akan kekal sebagai negara dengan kepelbagaian bangsa dan agama dengan bangsa Melayu serta Islam sebagai terasnya.

14. Yang akan mencorakkan negara dan bangsa ini ialah rakyat Malaysia dengan pelbagai identiti dan budaya, tetapi hidup dengan muhibbah dan bermuafakat sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan patriotik.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.