Mampukah Anwar Bela Islam Sedangkan ‘Ghanimah’ Perang Politik PRU-14 Dikuasai Dap…

 

PASIR SALAK, 23 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata, beliau menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin dikenali sebagai pemimpin negara yang memiliki keyakinan teguh terhadap Islam apabila memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelak dan dalam masa sama, ingin dikenali sebagai pemimpin yang sangat prihatin terhadap orang bukan Islam kerana ini satu sikap yang mulia dan sepatutnya ada pada seseorang pemimpin.

Namun jelas beliau, apa yang menjadi persoalan, adakah Anwar mampu untuk mengotakan apa yang dikatakan itu kerana, tidak ada siapapun yang boleh menafikan ghanimah (harta rampasan) perang politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebenarnya dikuasai oleh Dap.

“Anwar adalah ahli politik yang cuba untuk mendapatkan sokongan daripada semua pihak dan kita tahu kumpulan-kumpulan yang dia mengharapkan mendapat sokongan itu mempunyai agenda berlainan iaitu menentang agenda Melayu Islam. Sebab itu di satu tempat dia boleh menjadi penari dan di satu tempat yang lain dia boleh menjadi ‘ustaz’.

“Kita pernah melihat di mana Anwar terpaksa akur kepada pihak-pihak yang mempunyai agenda bertentangan itu semata-mata kerana untuk meraih sokongan politik. Contoh, dia terpaksa mengambil hati Dap sehingga sanggup menggadaikan atau berkompromi dalam hal kepentingan Melayu dan Islam bila menghadapi kesulitan yang di bawa oleh Dap kepada dirinya. Ini yang menyebabkan saya berasa kurang yakin dengan janji Anwar itu.

“Mengenali Dap, Dap tidak akan mengalah dari segi agenda perjuangan mereka kerana mereka mempunyai agenda yang kosisten yang selama ini diperjuangkan iaitu Malaysian Malaysia… agenda kesamarataan yang akan mengurangkan kepentingan Islam. Ini agenda Dap. Sebelum berkuasa pun mereka bertegas, apatah lagi setelah berkuasa,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, atas agenda tersebutlah maka kini hak anak Melayu dalam matrikulasi dipertikaikan dan UEC diperjuangkan.

“Ini tanda-tanda yang menunjukkan mereka semakin lantang memperjuangkan agenda mereka. Begitu juga dari segi agama Islam, walaupun Dap cuba mengambil hati orang Islam dengan memberi bantuan kepada masjid dan orang Islam tetapi sumbangan yang diberikan kepada bangsa lain jauh lebih besar.

“Mereka cerdik mengaburi mata orang Melayu dan Islam kononnya membantu dan menyokong institusi Islam. Adakah Anwar boleh membendung semua ini? Adakah Anwar boleh menghadapi cabaran ini? Saya rasa tidak mungkin kerana kedudukan Anwar sebagai seorang Perdana Menteri kelak akan banyak bergantung kepada sokongan Dap,” tegas beliau.

Tajuddin turut mengatakan, sehebat-hebat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga dikatakan ‘kuku besi’ turut ‘tunduk’ mengalah kepada desakan Dap.

“Tun sendiri mengakui sebagai Perdana Menteri, dia bergantung kepada Dap. Mungkin ada yang berkata Tun dapat kuasai Dap. Malaysia baru… mungkin ya mungkin tidak. Kalau dia tidak tunduk kepada Dap mengapa begitu ramai menteri terdiri dari kalangan Dap? Ini semua tuntutan Dap… maknanya Tun memang mengalah dengan desakan Dap.

“Jawatan-jawatan penting menteri terpakaa diberi kepada Dap kerana Tun menghadapi desakan daripada Dap walaupun Dap menunjukkan dia boleh bekerjasama dengan Tun dan orang melayu dalam Amanah dan PPBM tetapi agenda siapa yang lebih berjaya dalam Pakatan Harapan (PH)?

“Siapa yang mendapat keuntungan besar dalam kerajaan sekarang ini? Kalau kita buat kira-kira maka kita akan dapati dan tidak ada siapa boleh nafikan bahawa Dap yang untung besar. Ghanimah perang politik PRU-14 ini yang banyak dapat adalah Dap,” tegas beliau.

Maka jelas Tajuddin, apa yang berlaku kepada Tun sekarang ini akan turut dilalui oleh Anwar apabila dia berjaya menjadi Perdana Menteri kerana Dap adalah sebuah komponen yang dominan dan tidak akan ada perubahan dalam politik kerajaan PH. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.