Harap Visi ‘Kemakmuran Bersama 2030’ Bukan Hanya Halwa Telinga Semata-mata

1. Perdana Menteri telah membentangkan konsep Kemakmuran Bersama 2030 sebagai fokus dan pelan terbaharu Kerajaan.

2. Setelah setahun, akhirnya satu visi nasional diumumkan sebagai hala tuju negara yang baru. Segala usaha baik ke arah memakmurkan negara ini adalah tindakan yang bertanggungjawab dan wajar disokong.

3. Namun, setelah meneliti pembentangan dan rancangan kerajaan di bawah aspirasi Kemakmuran Bersama 2030 tersebut, timbul beberapa persoalan dan aspek penting yang mesti dijelaskan oleh Kerajaan.

4. Pertama, apakah kayu ukur kemakmuran bersama ini?

5. Perdana Menteri menyebut berkenaan ‘pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan dan ‘penyertaan dalam rangkaian bekalan’. Jadi, apakah sasarannya dan bagaimanakah kemakmuran bersama akan dinilai dalam konteks ini?

6. Indikator yang akan digunakan untuk menilai aspek-aspek yang abstrak ini sangat penting. Ini kerana, kemakmuran bersama ini mesti bukan sekadar konsep atau istilah pembangunan sosio-ekonomi semata-mata. Ia mesti mempunyai sasaran yang boleh diukur. Indikator dan parameterpenilaian yang jelas akan menentukan bukan sahaja pencapaian
matlamat, tetapi juga keberkesanan visi tersebut.

7. Kedua, adalah penting untuk diingatkan bahawa penghalang utama kepada kemakmuran bersama adalah pendapatan yang terlampau tinggi dan tumpuan kekayaan dalam kalangan orang kaya.

8. Strategi terkenal Tun Mahathir sebelum ini semasa menjadi Perdana Menteri ke-4 adalah ekonomi ‘laissez-faire’, polisi ‘trickle-down economics’ dan dasar penswastaan besar-besaran. Dasar dan pendekatan ini telah melahirkan golongan kecil elit yang terlampau kaya terutamanya di kalangan beberapa elit Melayu dan bukan Melayu yang terpilih. Justeru, rakyat pastinya sangat berharap yang pelan kemakmuran bersama ini dapat memperbetulkan segala kesenjangan ini.

9. Ketiga Kerajaan sehingga kini belum menjelaskan bagaimana strateginya untuk mengagihkan kekayaan negara secara lebih saksama dan berkeadilan.

10. Apakah yang akan dilakukan dengan agenda pemberdayaan Bumiputera dalam konteks kemakmuran bersama ini? Ini semua perlu diperincikan kerana ikhtiar pemberdayaan Bumiputera selama ini memang tujuannya untuk memastikan kesejahteraan negara ini dikongsi secara bertanggungjawab antara semua kaum di Malaysia. Ia tidak sama sekali dirangka atas dasar menguntungkan kaum Bumiputera hanya kerana mereka Bumiputera.

11. Keempat, Kerajaan mempunyai tugas memastikan yang usaha mengurangkan peranannya dalam ekonomi dan melupuskan aset dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan mewujudkan orang tengah
yang mendapat keuntungan atas angin (‘rentier’) sekali lagi. Kita masih ingat, Dasar Penswastaan besar-besaran Tun Mahathir sebelum ini telah dikritik ramai kerana menyuburkan kronisme, pengambilalihan keuntungan secara tidak adil dan kehilangan tumpuan sosial yang kritikal.

12. Tambahan pula, dengan kehadiran beberapa individu pembuat keputusan dari kalangan elitis dalam kerajaan yang mengamalkan polisi neo-liberal dan hanya mementingkan keuntungan serta segala petunjuk kuantitatif dalam melihat pencapaian.

13. Kelima, objektif ketiga hasrat Kemakmuran Bersama adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia. Ini adalah harapan yang tinggi, dan baik. Namun sehingga waktu ini, tiada strategi khusus dinyatakan bagaimana Kerajaan akan memacu proses menglobalisasikan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan peranannya dalam kemakmuran ekonomi serantau.

14. Dalam mengejar cita-cita tersebut, harus diingatkan juga bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, bursa saham Malaysia jatuh menjadi pasaran tercorot dalam dunia pada tahun 2019, prestasi ringgit Malaysia antara yang terburuk di Asia pada bulan April 2019 dan ramai pakar ekonomi telah menjelaskan tentang masalah kekurangan pemacu pertumbuhan. Berlatarkan realiti ekonomi seperti ini, ternyata objektif ‘paksi ekonomi Asia’ memerlukan Kerajaan memulihkan terlebih dahulu pelbagai kelesuan ekonomi Malaysia.

15. Keenam, kesemua tujuh teras dasar kemakmuran bersama itu semuanya telah menjadi kerangka dasar ekonomi Malaysia sebelum ini. Ia telah diungkapkan secara jelas dan tuntas dalam pelbagai dasar ekonomi, pembangunan dan dasar sosial negara. Malah banyak sekali projek dan program dalam pelbagai skala, telah dilaksanakan dalam merealisasikannya. Semuanya dengan tujuan untuk memakmurkan Malaysia.

16. Dengan demikian, visi kemakmuran bersama ini bukanlah sesuatu yang baru dan ‘original’. Ia adalah penerusan pelbagai dasar Kerajaan sebelumnya dalam pakej yang berlainan. Jadi apakahtawaran baru dalam visi ini?

17. Rakyat mengharapkan sesuatu yang transformatif dan bersifat ‘game changing’. Adakah projek Kereta Nasional ketiga, kereta terbang, mengembalikan semula perlumbaan Formula 1, menjual aset-aset strategik Kerajaan dan pelbagai lagi merupakan sebahagian dari strategi utama pelaksanaan dasar kemakmuran bersama ini?

18. Pastinya rakyat sangat gusar tentang kebolehcapaian cita-cita besar ini. Lebih-lebih lagi apabila mengambil kira perkara-perkara berikut:

a. Kabinet yang sangat tidak berpengalaman, tidak profesional dan ‘underperforming’ seperti yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri. Ramai menteri lebih sibuk dan berbangga dengan kunjung hormat ke pejabat mereka sesama sendiri.

b. Selepas setahun, pembangunan luar bandar Malaysia ternyata mundur ke belakang. Tiada satu pun lonjakan besar yang terlihat dilakukan oleh Kementerian berkaitan.

c. Dasar pendidikan kita terus-menerus kabur tanpa ada kesudahannya. Lebih merisaukan apabila ikhtiar Menteri Pendidikan banyak berkisar tentang penjenamaan semula bukannya ‘reform, reinnovate and recreate’.

d. Lihat sahaja Menteri Belia dan Sukan, yang KPI dan pencapaian setahun yang dibanggakan adalah latihan debat kepada beberapa orang anak Muar dan bukannya masa depan anak muda luar bandar secara menyeluruh.

e. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna obses dengan ‘food bank’ dan bukannya penurunan secara sistematik harga barang.

f. Lebih merisaukan adalah apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak serius bercakap berkaitan dengan hal ehwal ekonomi dan strateginya untuk menjadikan ekonomi Malaysia ini ‘future proof’.

g. Kesejahteraan bersama bagaimana yang akan terhasil bila Menteri Kewangan hanya fokus dengan pengurusan hutang dan dalam waktu yang sama menambah pelbagai hutang baru?

19. Saya harap, Kerajaan akan membentangkan dengan lebih lengkap strategi serta pendekatan yang akan digunakan dalam merealisasikan aspirasi ini. Kita sangat berharap agar kemakmuran yang cuba digembur ini benar-benar menjadi kemakmuran bersama dan bukannya visi nasional yang manis, lunak dan menjadi halwa telinga semata-mata.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

17 Mei 2019

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.