Statut Rom: Peguam Negara Yang Patut Dipersalahkan, Sila Letak Jawatan…

BATU PAHAT, 16 Mei – Orang yang mesti dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan sehingga Malaysia pada peringkat awal menandatangani perjanjian Statut Rom melalui ‘pintu belakang’ adalah Peguam Negara, Tommy Thomas, bidas bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurutnya juga, Tommy Thomas mesti mengambil tanggungjawab di atas kesilapan yang berlaku serta mesti meletak jawatan.

“’Pintu belakang’ bermaksud, Majlis Raja-Raja langsung tidak dimaklumkan sama sekali. Rakyat juga tidak diberi penjelasan mengenainya berbanding isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Dalam isu ICERD kerajaan umum terlebih dahulu bahawa Malaysia akan menandatanganinya.

“Tommy Thomas telah memberi maklumat salah kepada Majlis Raja-Raja kononnya Statut Rom – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak menghapuskan imuniti Yang di-Pertuan Agong, tidak perlu meminda perlembagaan, tidak perlu memaklumkan kepada Majlis Raja-Raja dan tidak menyentuh sama sekali kedaulatan Malaysia,” tegassnya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Malah tambah Dr Puad, lebih tidak bertanggungjawab Tommy Thomas turut menghadiri satu forum yang mempertahankan penyertaan Malaysia dalam Statut Rom.

“Forum di Universiti Malaysia pada 27 April 2019 itu menjadi kecoh kerana ahli panel menuduh mereka yang membantah Statut Rom sebagai bodoh dan kangkung.

“Tommy Thomas juga dilihat bertepuk tangan apabila Raja-Raja Melayu dihina oleh salah seorang peserta yang turut hadir,” ujarnya lagi.

Semalam Residen Koordinator Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia diminta memberi penjelasan kepada Kementerian Luar mengapa Malaysia masih dikekalkan sebagai penerima Statut Rom, sedangkan surat penarikan diri telah dihantar ke PBB pada 19 April 2019.

Itu bermakna Malaysia akhirnya menolak Statut Rom.

Di samping itu jelas Dr Puad, Datuk Saifuddin Abdullah selaku Menteri Luar tidak akan menandatangani Statut Rom tanpa mendapat persetujuan daripada Peguam Negara.

“Logiknya ialah surat jawapan bekas Menteri Luar Datuk Anifah Aman terhadap dakwaan Datuk Noor Faridah Ariffin (kumpulan NGO G25). Surat itu bertarikh 2 Mei 2019. Noor Farida dalam forum Statut Rom di Universiti Malaya itu menyalahkan Anifah Aman kerana gagal mendatangani Statut Rom pada tahun 2011.

“Anifah Aman dalam jawapan balasnya menyatakan dia tidak menandatanganinya kerana Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail membantah penyertaan Malaysia.

“Bahkan apabila Kabinet membincangkan semula isu itu pada tahun 2015, Peguam Negara langsung tidak menyediakan Kertas Kabinet mengenainya. Ghani Patail difahamkan hingga ke hari ini tidak bersetuju Malaysia menyertai Statut Rom,” katanya lagi.

Justeru itu, tambah Dr Puad cukup jelas Saifuddin Abdullah dipengaruhi oleh Tommy Thomas.

“Tommy mesti rasa malu apabila Kerajaan buat ‘U-Turn’ atas desakan rakyat

“’U-Turn’ itu membuktikan Tommy Thomas gagal. Di samping itu banyak ‘blunder’ lain yang beliau lakukan yang mewajarkan dia meletak jawatan atau dipecat.

“Beliau sudah satu level dengan Lim Guan Eng. Terlalu ‘mediocre’. Memalukan Negara,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.