Kos ECRL: Ikut Logik PH, Mereka Samun Berbilion-bilion, Bidas Najib

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu kos sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam hantaran di Facebook, Najib dengan sinis berkata PH samun RM15 bilion apabila mereka bersetuju kos ECRL ditetapkan pada harga RM44 bilion.

Andaian tersebut dikira jika mengikut logik pemimpin PH dahulu ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatakan kos ECRL sebanyak RM55 bilion, dituduhnya BN ‘songlap’ berpuluh bilion.

“Tony Pua kata RM29 bilion tapi BN sengaja naikkan kepada RM55 bilion. BN ‘songlap’ berpuluh bilion.

“Guan Eng kata kos sebenar hanya RM29 bilion tapi BN sengaja naikkan ke RM81 bilion. BN ‘songlap’ berpuluh bilion.

“Mahathir kata ECRL boleh dibuat dengan kos cuma RM10 bilion sahaja. BN ‘songlap’ berpuluh bilion,” ujar Najib.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu lagi, syarikat ECRL di bawah kerajaan PH pula berkata minggu lepas bahawa harga RM55 bilion itu bukan sengaja dinaikkan dan tidak wujud unsur ‘over-pricing’.

Disebabkan itu juga bidas Najib, akhirnya kerajaan PH berkata BN menaikkan kos projek RM66 bilion tetapi mereka berjaya mengurangkan kos menjadi RM44 bilion dengan pelbagai perubahan besar terutama jajaran yang merentasi banjaran Titiwangsa.

“Pendekkan jarak jajaran sebanyak 40 kilometer, kurangkan dua stesen, melambatkan tarikh untuk projek siap selama dua tahun dan tukar jajaran supaya tidak perlu merentasi banjaran Titiwangsa untuk kurangkan kos terbesar ECRL.

“Tukar jajaran supaya tidak lagi sampai ke ibukota Kuala Lumpur dan tidak perlu menanggung kos pengambilan tanah yang tinggi. Sekarang, penumpang-penumpang ECRL di ibukota perlu berarah ke selatan ke Putrajaya sebelum naik ECRL untuk menuju ke utara lagi,” katanya.

Tambah Najib lagi, terdapat juga perubahan syarat bagi melaksanakan kembali projek tersebut.

“Membenarkan syarikat China CCCC untuk mengambil-alih 50% kepentingan dalam syarikat yang mengendalikan operasi ECRL.

“Membenarkan syarikat China CCCC untuk mengambil bahagian dalam lapan projek taman perindustrian di sebelah stesen-stesen sepanjang jajaran ECRL,” jelas Najib yang juga bekas Menteri Kewangan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.