PH Sengaja Biar Ada Campur Tangan Asing Dalam Isu Rome Statut…?


KUANTAN, 13 Mei – Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan Mohd Afif Mohd Anuar berkata, di saat semua ahli UMNO menumpukan perhatian kepada ulang tahun UMNO ke-73, perkara berkaitan Rome Statut tidak boleh diabaikan.

Jelas beliau, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menarik balik ratifikasi Rome Statut namun sehingga kini perkara ini belum ada pengesahan, tambahan pula Malaysia masih tersenarai sebagai sebuah negara yang menyertai ratifikasi ini dan apatah lagi telah ada campur tangan asing berkaitan isu yang bertujuan mengelirukan rakyat.

“Rome Statut menjadi bualan hangat media antarabangsa apabila Malaysia menarik diri dari konvensyen antarabangsa itu selepas Kabinet PH menghubungi Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ratifikasi ini ditarik balik setelah mereka menandatangani pada 5 April yang lalu. Bualan hangat ini menjadi perhatian dunia apabila kuasa dan media asing membuat propaganda akan ketidaktentuan prinsip kerajaan Malaysia dalam isu antarabangsa.

“Penarikan ini juga terpaksa dibuat apabila terdapat banyak bantahan termasuklah dari Majlis Raja-raja. Namun sejauh mana status penarikan ini?

“… dan paling mengecewakan mengapa selepas penarikan ini, media asing seakan cuba masuk campur dalam isu ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Afif, selepas mereka yang terbabit gagal melaksanakan Rome Statut, media luar negara dipergunakan bagi menyakinkan rakyat kononnya Rome Statut ini perlu diratifikasikan.

“Human Rights Watch (HRW) dilihat seakan dijadikan ‘vehicle’ mereka untuk membawa rakyat bangkit bersama mereka dengan menuding jari kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja sebagai tidak layak mencampuri urusan eksekutif sesebuah negara. HRW adalah merupakan satu badan NGO antarabangsa yang berpengkalan di New York, Amerika Syarikat yang memperjuangkan hak sama rata dan hak asasi manusia yang sudah di ‘mobilise’ ke seluruh dunia.

“HRW dan Timbalan Pengarah Asianya, Phil Robertson pada 8 Mei 2019 berkata kepada Star Online, kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan dan Istana Johor adalah satu bentuk naratif kurang sihat kerana kata beliau Istana tidak seharusnya mencampuri urusan pentadbiran kerajaan. Tindakan ini seperti kuasa asing yang cuba menghasut rakyat dengan ideologi sekular terhadap sistem beraja di negara ini dan diberi ruang oleh kerajaan untuk membuat kerja-kerja ‘underground’ supaya rakyat membenci sistem beraja.

“Segala kenyataan yang dikeluar kan oleh HRW adalah seperti sudah di skrip kan seperti Rome Statut ini adalah salah satu agenda reformasi negara dan penarikan balik adalah ibarat harapan yang hancur kepada rakyat. Ini adalah doktrin yang selalu di guna kan PH tanpa kita sedar bagi membentuk kekuatan mereka mempengaruhi rakyat,” jelas beliau.

Selain itu, PH juga cuba mengalih perhatian rakyat dengan mengatakan bahawa Rome Statut ini sudah dirangka untuk diratifikasi kan oleh kerajaan BN semasa pentadbiran dulu.

“Saya ingin memperbetulkan kenyatan ini iaitu semua konvensyen antarabangsa ini dihantar oleh PBB ke semua negara naunganya dan kerajaan BN tidak pernah meratifikasi apa-apa konvensyen tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

“Jadi, PH tidak perlu menggunakan NGO luar negara untuk mengelirukan rakyat. Saya kesal selepas penarikan balik Rome Statut ini, ada campurtangan asing ibarat datang tidak diundang untuk menghasut rakyat Malaysia. Apakah ini usaha-usaha untuk memberi ruang kepada kerajaan meneruskan agenda ini dengan kuasa rakyat setelah di hasut mereka?

“Kita perlu berjaga dengan gerakan licik mereka kerana negara kita akan tergadai kalau kita hanya pandai menjadi pengikut tetapi tidak menjadi pejuang. Jika Rome Statut tidak akan memperjudikan kedudukan Raja-Raja, kenapa HRW ini menempelak perbalahan di antara Perdana Menteri dan Istana Johor yang mana mereka menyokong tindakan Perdana Menteri?” bidas beliau.

Justeru, semua rakyat negara ini tidak boleh sekadar duduk diam atau selesa kerana ternyata sudah ada gerakan-gerakan untuk cuba meracuni pemikiran rakyat supaya rakyat menolak sistem ber Raja. Demokrasi di negara sudah rosak dan perlembagaan persekutuan ibarat hanya tulisan muzium yang di pamer.

“Dana dan idealogi dari barat adalah perkara yang memang wujud bertahun di bumi Malaysia ini. PH adalah boneka mereka untuk menakluk ideologi Melayu dan Islam kita supaya pupus dan di ganti dengan sistem mereka. Ini adalah penjajahan era baru yang berlaku tanpa kita sedari.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya buka mata anda tentang apa yang berlaku kerana peninggalan kita adalah untuk waris generasi kita dan kita perlu bangkit mempertahankan Raja-Raja dan agama kita supaya Malaysia ini kekal relevan dan warisan budaya kita kekal abadi. Rakyat Malaysia perlu bangkit dan mengenang sejarah lampau di mana kegigihan Pembesar Pembesar Melayu mempertahan kan tanah air ini dari di nodai,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.