Setahun Yang Gagal… PH Buat Kesedaran Rakyat Meningkat

 

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, terlalu banyak ‘kejayaan’ yang boleh dibanggakan sehinggakan rakyat mula menyuarakan rasa hati secara terbuka.

Jelas beliau, disebabkan ‘kejayaan’ PH inilah, kesedaran rakyat terhadap politik semakin meningkat.

“Setahun PH memerintah, semua pihak berhak untuk menilai tahap kepuasan kerajaan baru ini. Apa yang saya lihat, ada banyak perkara yang boleh dinilai antaranya tahap kesedaran politik rakyat. Rakyat kini semakin suka mengikuti politik dalam Parlimen… menyemak setiap ungkapan yang dikeluarkan oleh menteri. Sekiranya ungkapan yang diungkapkan bodoh maka rakyat akan kata bodoh, jika baik rakyat akan kata baik.

“Saya fikir ini satu perkara yang memberangsangkan di mana penyertaan dan kesedaran rakyat terhadap politik meningkat. Walaupun ini bukan hasil PH tapi ini perkara positif yang wujud. Saya berharap perkara ini akan terus berkembang kerana selain parti politik yang membuat semak dan imbang, rakyat juga berbuat demikian.”

Selain itu katanya, rakyat juga semakin berani dan tidak lagi berpolitik mengikut satu jalur.

“Ini saya perhatikan dalam tiga PRK yang lalu. Tidak sampai setahun, rakyat benar-benar bertukar arus terutama golongan muda. Saya lihat saluran muda sekarang ini menunjukkan protes mereka tidak lagi menyokong PH. Ini bukan lagi teori, ini satu tred orang muda berani buat pendirian politik dan tolak kerajaan.

“Selain itu pegawai kerajaan, dulu ‘stereo-type’. Pegawai kerajaan mesti sokong kerajaan tapi sekarang ini tidak. Contohnya pegawai polis, di Semenyih pegawai penjara, undi pos, undi awal dan undi kawasan elit nampaknya lebih terbuka dalam politik dan menunjukan perubahan sokongan,” ujar beliau dalam live FB yang bertajuk ‘Setahun PH yang gagal… bukan salah Tun Mahathir’.

Dari sudut ekonomi pula ulas Annuar, terlalu banyak fakta yang menunjukkan PH sememangnya gagal sehingga menyebabkan hutang negara terus meningkat dan pelaburan asing terjejas.

“Perkembangan ekonomi sebuah negara dinilai menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kalau negara itu diurus dengan baik biasanya ekonomi tumbuh. Dalam negara ini sebelum PH ambil alih, tahun 2016, 2017 dan awal 2018, angka menunjukkan pertumbuhan KDNK menghampiri 65 peratus dan tred petumbuhan itu menyebabkan negara diberi rating cukup positif oleh badan-badan penarafan antarabangsa.

“Tapi selepas PH ambil alih apakah yang berlaku? Sekarang ini angka rasmi yang dilaporkan PH sendiri, susut… hanya tinggal 4.75 peratus. Ramai ahli ekonomi membayangkan peratus ini akan menurun lagi. Maka apa rumusannya? Selepas setahun ternyata PH gagal untuk pastikan ekonomi negara berkembang lebih baik dari pasca 9 Mei 2019,” ulas beliau.

Selain itu, katanya, antara tajuk paling popular yang disebut dan dimainkan oleh PH adalah berkaitan hutang negara.

“Hutang negara dipolemikkan begitu teruk sekali. Kita tidak mahu angka politik RM1 trilion. Semasa PH memerintah angka rasmi Bank Negara yang dikira mengikut pengiraan antarabangsa, hutang negara berada pada tahun 52.3 peratus daripada KDNK atau RM648 bilion.

“Berapakah hutang negara sekarang? Secara logik patutnya hutang negara semakin mengurang selepas subsidi dikurangkan, perbelanjaan dipotong, derma dikutip daripada rakyat melalui tabung PH kononnya untuk bayar hutang, duit-duit 1MDB kononnya telah dapat balik, penjimatan sana sini tapi apa sebenarnya terjadi?

“Hutang negara telah meningkat melebihi RM700 bilion… hutang rasmi berdasarkan formula kiraan antarabangsa sudahpun mencapai hampir RM780 bilion. Bermakna dari segi pengurusan hutang juga PH gagal,” terang beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.