Setahun PH Memerintah: Dulu BN Dikeji, Sekarang BN Dirindui…

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ada pihak yang menggambarkan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu akan menjadi detik BN dan UMNO bakal berkubur, malah ada juga yang bertepuk tangan melihat parti yang telah lebih 61 tahun berjasa ini digantikan oleh Pakatan Harapan (PH).

Hari ini selepas genap setahun PH mengambil alih tampuk pimpinan negara, mereka yang dulu bersorak gembira mula bertukar nada… PH yang dulu dipuji mula dikeji dan BN yang dulu dihina mula dirindui.

Bagi Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap apa yang terjadi sudah pasti ada hikmahnya begitu juga dengan kegagalan BN dalam PRU-14 yang lalu.

“Kekalahan BN dan UMNO ada hikmahnya. Apabila kita kalah, ia adalah satu perkara yang amat malang bagi kita tetapi tidak bagi sesetengah pihak, ia sesuatu yang menggembirakan. Setelah setahun, hikmah yang saya sebutkan tadi adalah bila rakyat sudah boleh membuat perbandingan dan penilaian.

“Dulu BN sahaja yang memerintah, jadi yang nampak tidak elok adalah kita, tapi sekarang setelah setahun PH memerintah, rakyat sudah boleh nampak segala kelemahan yang selama ini tidak terfikir oleh mereka kerana janji-janji yang begitu manis yang diberi oleh PH kepada rakyat tidak menjadi kenyataan.”

Katanya, selepas setahun, rakyat dapat melihat kehidupan semakin teruk, lebih terjejas, harga barang yang dijanjikan akan menurun menjadi semakin meningkat dan harga komoditi yang dinikmati oleh masyarakat luar bandar sebelum ini jatuh.

“Bayangkan dalam keadaan sekarang, harga barang naik, pendapatan menurun kerana harga komoditi yang semakin jatuh. Penderitaan rakyat menjadi semakin teruk. Dulu mereka katakan negara ini hampir bankrap kerana kegagalan BN mengurus ekonomi tetapi setelah PH memerintah, daripada RM686 bilion hutang negara telah meningkat kepada RM770 bilion… meningkat mendadak, pasaran saham yang terbaik sewaktu BN memerintah sekarang menjunam menjadikan Malaysia yang terburuk berbanding negara-negara Asia yang lain.

“…hutang negara bertambah, pelaburan asing menurun malah pelabur asing telah mula bawa keluar pelaburan mereka dari negara kita. Ini bermakna, dari segi pengurusan ekonomi, PH gagal, dari segi menjaga kebajikan rakyat, PH gagal dan kita tidak mendengar satu pengumuman pun bagaimana hendak menyelesaikan isu yang berbangkit hari ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang, semasa pentadbiran BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak, berbagai-bagai transformasi ekonomi yang diumumkan untuk meningkatkan ekonomi negara, tetapi sekarang perkara seperti ini tidak berlaku.

“Apa yang ada hanyalah ‘copy paste’. Kerajaan hari ini, kalau mereka tidak mampu buat, mereka hanya salahkan kerajaan terdahulu.

“Sebab itu saya katakan inilah hikmah yang besar dan rakyat hari ini mula boleh buat penilaian dan perbandingan. Sebab itu orang yang dulu tidak berminat berkaitan politik, hari ini mula berminat kerana keadaan hari ini menjadikan mereka terpaksa ambil tahu,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa hairan berkaitan fungsi Kabinet dalam pentadbiran PH hari ini kerana dilihat gagal.

“Saya agak hairan kerana tidak tahu apa fungsi Kabinet pada hari ini sebab sewaktu BN memerintah, sebarang polisi yang hendak dilaksanakan mesti diputuskan dalam Kabinet.

“Sebagai contoh polisi cermin hitam, kalau diputuskan dalam Kabinet sudah pasti menteri yang menjaga Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewakili polis akan memberikan pandangan dan menteri-menteri lain akan turut berikan pandangan tetapi apa yang berlaku, difahamkan polis pun tidak dimaklumkan, tidak dilibatkan dalam isu ini sedangkan ia melibatkan soal keselamatan.

“Jadi, perkara yang dilakukan nampak menteri umum tanpa merujuk kepada menteri yang lain dalam Kebinet. Ini merupakan satu kelemahan kepada Kabinet hari ini kerana apa yang menteri laksanakan hari ini dilihat hanya secara sendiri dan tidak dirujuk kepada rakan-rakan dalam Kabinet maka ,sebab itulah kita dapat lihat adegan pertelagahan antara menteri… menteri ini umum, menteri itu tidak setuju… menteri ini tidak setuju dan mereka bertelagah secara terbuka dan semua ini tidak terjadi semasa zaman BN,” sindir beliau.

Terang beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, sewaktu BN memerintah, tidak ada satu menteri pun boleh mengkritik menteri lain secara terbuka kerana setiap keputusan Kabinet harus dianggap sebagai keputusan bersama.

“Sebab itu, satu sahaja yang boleh saya simpulkan bagi menggambarkan setahun pemerintahan PH iaitu GAGAL… gagal dalam semua segi,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.