Giliran Rakyat Sandakan Tunjukkan Referendum Tolak PH Yang Penuh Dengan Fitnah

SANDAKAN, 9 Mei – Tarikh 11 Mei ini adalah peluang terbaik kepada rakyat di Sandakan menunjukkan referendum menolak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang penuh dengan fitnah, janji-janji palsu dan penipuan, kata Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan adalah ruang untuk rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap PH sebagaimana yang telah berlaku di tiga PRK lalu iaitu Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih dan DUN Rantau.

“Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang tertubuh atas fitnah, penghinaan dan juga kerana janji-janji palsu mereka. Percayalah, sesuatu yang berlaku atas fitnah dan penipuan tidak akan kekal,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika membantu kempen PRK Sandakan dengan menyokong calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin, malam tadi.

Ujarnya, sikap pemimpin PH terutamanya Dap yang amat sombong telah ditolak oleh rakyat.

“Lihat di PRK Cameron Highlands, Dap begitu yakin untuk menang, namun kerana kesombongan yang teramat sangat rakyat telah tolak mereka.

“Mereka tak mahu dengar cakap orang, lihatlah apa yang berlaku sekarang ini apabila pemimpin Dap memegang menteri kewangan, ekonomi negara kita jatuh paling teruk berbanding dengan semua negara Asia malah Bursa Saham kita jatuh paling teruk di seluruh dunia.

“Kegagalan PH untuk meyakinkan sistem ekonomi negara kepada pelabur-pelabur menyebabkan semuanya lari. PH tersilap langkah menjaja negara ada hutang yang sangat banyak, kata negara kita akan bangkrap sehinggakan pelabur-pelabur yang ada dalam negara pun keluar kerana tidak yakin dengan kerajaan yang ada. Harga saham kita jatuh, mata wang kita jatuh.”

Tegasnya, dasar-dasar yang dibuat oleh PH juga membuat rakyat saling berasa curiga antara satu sama lain kerana ada dikalangan menterinya sendiri yang menghasut minda orang Malaysia sedangkan selama ini semua bangsa dan agama boleh hidup sejahtera bersama.

“Selam ini kita dapat hidup bersama-sama tetapi hari ini antara bangsa-bangsa lain sudah ada sikap saling mencurigai kerana apa yang ditanamkan oleh PH.”

Katanya, sikap PH juga sering menggunakan fitnah dan memburuk-burukkan pihak lain termasuklah membuat pelbagai tuduhan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Walaupun setelah lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dan 13 kali menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tapi dalam PRU-14 lalu BN kalah…ini proses demokrasi berjalan dengan lancar dan BN menghormati keputusan ini.

“Peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan berlangsung dengan begitu baik sekali, namun saya yakin jika PH tewas dalam PRU lalu, saya pasti sampai hari ini agaknya… satu tahun mereka akan terus berdemonstrasi di jalanan melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem demokrasi yang diurus oleh SPR. Mereka menghina, memfitnah dan mengeji proses yang dijalankan oleh SPR.

“PH mengatakan pilihan raya kita tidak telus, dituduh dengan macam-macam namun saya amat hairan kerana segala fitnah-fitnah mereka dulu telah dijilat dan dimakan sendiri… kerana sistem yang mereka keji, yang mereka hinalah yang menyebabkan mereka boleh menjadi kerajaan hari ini… tidak timbul soal penipuan, mana soal fitnah keputusan pilihan raya boleh ditentukan oleh kerajaan atau BN dulu?”

Tegasnya yang juga ADUN Rantau, kalau betul BN boleh tentukan keputusan pilihan raya maka tentunya BN hari ini terus memerintah tetapi ini tak pula mereka laporkan.

“Tuduhan-tuduhan dan fitnah-fitnah yang mereka lemparkan kepada BN sudah jadi kebiasaan kepada mereka sehinggakan hari ini mereka tak tahu nak buat apa apabila menjadi kerajaan…sudah terbiasa dengan fitnah.

“Saya yakin bahawa rakyat telah pun sedar termasuklah pengundi di sini, maka ini peluang untuk menolak PH dengan memilih calon PBS,” katanya lagi.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 65, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Pengerusi Dap negeri, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.