Matrikulasi Laluan Alternatif, Bukan ‘Pintu Belakang’

KUALA LUMPUR 8 Mei – Keilmuan Nasional menyanggah dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa program matrikulasi yang dikelolakan Kementerian Pendidikan sebagai ‘pintu belakang’ kepada pelajar Melayu untuk masuk ke universiti.

Pengerusinya, Zambri Mohd. Isa berkata, sebaliknya matrikulasi adalah laluan alternatif bagi masyarakat Melayu yang tidak berminat mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada suatu ketika dahulu.

“Antara faktor penubuhan program matrikulasi ialah bilangan tempat untuk mengambil STPM amat terhad dan kebanyakan sekolah yang menyediakan STPM tidak menyediakan asrama atau tempat tinggal.

“Seperti yang kita sedia maklum majoriti pelajar Melayu adalah terdiri daripada golongan pelajar miskin yang memerlukan bantuan dan sokongan seperti kemudahan asrama dan bantuan khas kepada mereka. Atas faktor tersebut mereka memasuki program matrikulasi untuk memberikan peluang menyambung pelajaran sebelum melangkah ke universiti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Dr. Mahathir mendakwa program matrikulasi merupakan ‘pintu belakang’ untuk pelajar Melayu masuk universiti.

Kata beliau, disebabkan pelajar Melayu tidak berminat mengambil STPM, program matrikulasi diwujudkan supaya lebih ramai pelajar bangsa itu dapat
menyambung pengajian ke universiti.

Mengulas lanjut, Zambri berkata, adalah tidak wajar orang ramai menganggap pelajar yang menyertai program matrikulasi tidak mempunyai kelayakan akademik yang baik kerana rata-rata pelajar Melayu tersebut mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Tambah beliau, program matrikulasi juga merupakan usaha kerajaan untuk mewujudkan keadilan dalam bidang pendidikan di negara ini.

“Keilmuan Nasional sekali lagi mengingatkan kepada semua pihak bahawa program matrikulasi Kementerian Pendidikan ini adalah salah satu dasar dan usaha untuk memberi dan mewujudkan keadilan sosial selain merupakan antara usaha pendemokrasian pendidikan di samping dapat merapatkan jurang antara kaum serta agama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.