Akar Umbi Tetap Istiqamah, Mahu UMNO Terus Menjadi Parti Berwibawa – Azri
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kesungguhan akar umbi dalam melaksanakan tanggungjawab mengendalikan persidangan tahunan di peringkat Cawangan jelas memperlihatkan kematangan dan keutuhan pendukung-pendukung parti, ujar Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Jelas Azri, ini ditambah tiada sebarang kekecohan yang berlaku malahan dapat membuktikan bahawa ahli-ahli UMNO masih setia dan istiqamah pada perjuangan.
“Saya tidak nampak ada sebarang kesukaran yang berlaku bagi menjayakan mesyuarat Cawangan sebelum 30 Mei mahupun Bahagian sebelum 15 Ogos.
“Malah setakat ini dilaporkan setiap mesyuarat Cawangan dihadiri oleh ahli akar umbi UMNO dengan jumlah yang lebih ramai dari kebiasaannya.
“Kekuataan UMNO adalah akar umbinya dan hari ini dengan beberapa orang pemimpin parti meninggalkan parti ianya sedikit pun tidak menjejaskan akar umbi UMNO yang ada,” katanya kepada UMNO-Online, sambil menyambut positif dipanjangkan tempoh persidangan.
Dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang medianya menyatakan bahawa mesyuarat Cawangan dianjakkan sehingga 30 Mei manakala persidangan peringkat Bahagian sehingga 15 Ogos ini.
Tambah Azri juga, UMNO yang memperjuangkan hak orang Melayu kini banyak berubah sama ada dari peringkat pimpinan mahupun akar umbi yang inginkan UMNO kembali menerajui negara dan secara tidak langsung dapat membuktikan parti keramat ini masih relevan.
“Walaupun status UMNO kini adalah pembangkang berwibawa sudah pasti banyak isu-isu yang perlu UMNO ketengahkan untuk dibawa ke peringkat atasan demi suara-suara rakyat.
“Lanjutan tempoh mesyuarat UMNO hari ini juga memberikan banyak ruang dan faedah bagi UMNO di setiap bahagian dalam menjayakan agenda parti,” ujarnya lagi. – MediaUMNO.