Pertembungan Kem Tun M – Muhyiddin Yassin, PPBM Ibarat Retak Menanti Belah


JOHOR BAHRU 4 Mei – Pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang pelantikan Mazlan Bujang dilantik sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor yang baharu pada minggu ini jelas merupakan tamparan hebat dan memberi kesan kepada air muka serta kepimpinan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu amat memeranjatkan kerana sebelum ini Muhyiddin sudah memaklumkan akan mengumumkan Pengerusi PPBM Johor yang baharu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bekas Menteri Besar itu berkata, namun keputusan Dr. Mahathir yang mengumumkan terlebih dahulu Mazlan sebagai Pengerusi PPBM Johor memperlihatkan tiadanya persefahaman malah wujud perpecahan dan konflik berkepentingan dalam kepimpinan PPBM.

“Pengumuman tersebut bukan sahaja tidak meredakan spekulasi tentang perpecahan dan isu dalaman PPBM Johor khususnya antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir, malah, menguatkan lagi sangkaan kita selama ini.

“Lebih-lebih lagi, Pengerusi yang baharu ini dikatakan calon daripada pasukan atau kem yang dianggap tidak menyebelahi pasukan yang menerajui Kerajaan Negeri Johor sekarang dan yang nyata memihak serta berada di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semua ini sekali gus menyerlahkan bahawa PPBM Johor benar-benar sudah terbahagi kepada beberapa kem atau pasukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, biar apa pun alasan dan jawapan Dr. Mahathir atau Muhyiddin, apa yang jelas kepada masyarakat adalah PPBM Johor sedang mengalami satu krisis dalaman dan perpecahan yang tidak dapat disembunyikan lagi, ibarat retak menanti belah.

Beliau berkata, sebelum ini ramai benar-benar menyangka bahawa penukaran Menteri Besar Johor hanya berpunca daripada kegagalan Datuk Osman Sapian menjalankan amanah dengan cemerlang serta kekecewaan masyarakat terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Rupa-rupanya kata beliau, penukaran tersebut ibarat membuka pekung di dada yang secara tidak langsung turut membongkar lebih banyak isu dalaman PPBM Johor.

“Selaku Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini melantik Datuk Osman Sapian sebagai Pengerusi PPBM Johor. Namun, susulan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Johor, pelantikan pengerusi yang seterusnya tidak sunyi dari spekulasi dan perselisihan.

“Jangkaan semua pihak adalah mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat akan menjadi calon yang berkemungkinan diangkat mengepalai PPBM Johor,” katanya.

Justeru katanya, bagi meredakan spekulasi dan khabar angin, Muhyiddin memaklumkan bahawa pengumuman Pengerusi PPBM Johor akan dilakukan oleh beliau tidak lama lagi tetapi secara tiba-tiba diumumkan Perdana Menteri pula yang juga Penasihat PPBM. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.