Dap ‘Usik’ Perkara 3 Perlembagaan, Menteri Dalam Negeri Masih Tidak Sensitif


KUALA LUMPUR, 2 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas sikap menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) beragama Islam yang masih bersikap tidak sensitif apabila rakan sekutu mereka, Dap mencampuri urusan dan kesucian agama Islam.

Tegasnya, perkara yang disentuh juga jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 yang menjelaskan Islam agama rasmi persekutuan dan segala bentuk faedah dan keistimewaan kepada agama Islam.

“Sudah terang lagi bersuluh tentang sikap Dap kepada Islam. Ini dapat dilihat dari tindakan Senator Dap Nga Hock Cheh yang mencadangkan supaya perkataan agama digugurkan di dalam kad pengenalan.

“Paling menyedihkan apabila kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang merupakan seorang Islam tidak sedikit pun merasa sensitif dan tercabar oleh rakan dalam pakatan beliau apabila mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan memperhalusi cadangan Senator Dap tersebut.

“Apakah ini gambaran sebenar bahawa menteri Melayu dalam PH juga harus tunduk dengan apa jua tuntutan atau arahan dari Dap? Sepatutnya menteri terus menolak cadangan tersebut tanpa mengkaji kerana ianya jelas bertentangan dengan perlembagaan dan alasan mengelakkan bencana kepada perpaduan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Ismail, yang juga Ketua Pembangkang turut mempersoalkan rasional di sebalik cadangan tersebut.

“Apakah rasional wakil Senator Dap di dalam Dewan Negara ini merupakan sebuah agenda yang mewakili perjuangan sebenar Dap iaitu untuk menghapuskan segala bentuk dan apa jua berkaitan Islam di Malaysia ini.

“Kesan kepada cadangan itu boleh membangkitkan kemarahan dan keadaan tegang antara kaum di Malaysia. Itu baru cadangan. Cuba bayangkan jika kerajaan Dap hari ini merealisasikan cadangan ini dan apa yang bakal berlaku?,” soalnya lagi.

Bahkan tambahnya, sikap anti Islam dan sikap tidak menghormati Islam telah diungkapkan oleh beberapa pemimpin kanan Dap sebelum ini seperti cadangan membenarkan murtad di kalangan umat Islam, mempersoalkan pakaian songkok sewaktu pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri, menghina pramugari yang memakai tudung, mempersoalkan agihan wang zakat dan lain-lain merupakan sikap biadap mereka yang boleh mengundang musibah besar kepada perpaduan rakyat dan keharmonian negara.

Bukan itu sahaja, Ismail juga membidas Hock Cheh yang mencadangkan kerajaan membuka Pejabat Kedutaan Malaysia di Israel.

“Saya melihat betapa bebal dan biadap Senator yang mewakili Dap ini kerana gagal mengkaji sejarah kenapa dan mengapa kerajaan Malaysia tidak pernah wujud hubungan diplomatik dengan Israel. Negara-negara Pertubuhan Negara Islam (OIC) tak pernah mengiktiraf Israel di Palestin.

“Apakah hari ini Dap mahu mengakui bahawa mereka sebenarnya sedang cuba untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat sama dengan tanah-tanah negara lain?,” soal Ahli Parlimen Bera itu.

Justeru Ismail melihat sikap tidak menghormati perasaan umat Islam dengan cadangan membuka Pejabat Kedutaan Malaysia di Israel jelas menggambarkan sikap buta hati pemimpin Dap itu kerana isu Israel bukan semata-mata soal umat islam tetapi isu kemanusiaan.

“Isu kezaliman Israel bukan sahaja ditentang oleh seluruh negara Islam tetapi juga negara-negara bukan Islam di atas dasar kemanusiaan kerana kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.

“Namun di atas sikap prejudis Senator Dap ini kepada Islam beliau lupa tentang faktor kemanusiaan. Mungkin beliau berpuas hati apabila hati org Islam di Malaysia dapat disakiti,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Ismail menggesa kerajaan mesti menolak cadangan-cadangan yang tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam di negara ini bagi memastikan keamanan antara rakyat yang berbilang agama dan kaum terus dikekalkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.