Ratifikasi Statut Rom, PH Angkuh Tidak Hormat Institusi Raja

KUALA LUMPUR, 30 April – Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin terdesak dan terhimpit dengan isu Statut Rom yang semakin hari dipertikaikan oleh ramai pihak.

Katanya lagi, kerajaan PH pada hari ini tergamak membelakangi Majlis Raja-raja Melayu dan menandatangani Statut Rom tanpa mendapat perkenan.

“Senario ini pastinya mendukacitakan kerana ia terkait dengan kedaulatan negara dan menzahirkan sikap angkuh kerajaan PH yang tidak menghormati kedudukan Institusi Raja-Raja.

“Adakah Statut Rom ini satu dari janji-janji dalam manifesto bukan kitab suci? Bukan juga… Apakah kepentingan, kelebihan dan manfaat untuk Malaysia untuk meratifikasi Statut Rom pada masa ini?

“Kenapa kita perlu terdesak sangat untuk meratifikasikan atau membincangkan isu ini sekarang sehingga ‘kita gaduh sesama sendiri’ dan di antara kerajaan PH dengan institusi Raja-raja Melayu?”, ujarnya kepada UMNO-Online.

Jelasnya lagi, terdapat beberapa fakta tentang isu ini iaitu ketiga-tiga kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan China tidak meratifikasi Statut Rom, manakala Israel, Arab Saudi, Korea Utara, India dan Pakistan juga tidak meratifikasikan.

“Dalam 10 negara ASEAN, lapan daripadanya termasuk Singapura juga tidak meratifikasi Statut Rom,” katanya.

Tambahnya, sebagai contoh Rusia tidak boleh dikemukakan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk tragedi kapal terbang Malaysia Airline Sistem (MAS) MH17 kerana mereka tidak mengiktirafkan ICC tersebut.

Idris turut membidas PH yang ternyata hanya mahu mengalihkan fokus terhadap perkara yang lebih utama iaitu yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat keseluruhannya.

“Adakah ianya lebih baik untuk rakyat bahawa fokus negara dan kerajaan dialihkan daripada isu Statut Rom kepada keadaan ekonomi negara yang semakin merosot dan janji-janji yang sedang ‘dicapati’ oleh PH?”, tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.