Pemuda UMNO Tentang Keras Tuntutan IFC Dan Agen-agennya Mahu Gugur Perkataan Agama Dalam MyKad


BANGI, 30 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk cadangan yang berniat jahat untuk mencabar dan mencabul kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Tegas Exconya, Afif Farhi Othman, ini termasuklah agenda untuk memusnahkan dan melenyapkan identiti agama di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu diingatkan semula bahawa tuntutan untuk tidak meletakkan status agama di dalam kad pengenalan ini merupakan salah satu daripada empat belas tuntutan Suruhanjaya Antara Kepercayaan atau ‘Inter Faith Council’ (IFC) yang heboh diperdebatkan sekitar pada tahun 2008.

“Persoalan yang timbul di sini ialah kenapakah isu menggugurkan status agama di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia ini kembali sensasi? Apakah perpaduan dijadikan asas yang relevan untuk usaha pengguguran status agama ini?

“Adakah sudah tidak ada perkara dan agenda yang lebih penting untuk dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia Baharu selain daripada menukar nama dan status?,” soalnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Seterusnya, berhubung kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengenai cadangan untuk mengkaji penggunaan status agama di dalam kad pengenalan, Afif berkata ia adalah satu perkara yang tidak munasabah serta merupakan tuntutan yang tidak perlu dilayan dan dibenarkan sama sekali.

“Rakyat Malaysia perlu disedarkan bahawa isu ini ditimbulkan oleh Senator Dap Nga Hock Cheh yang berniat jahat dan tidak sensitif terhadap perasaan majoriti penganut Islam di Malaysia dan tidak peka terhadap perlembagaan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Ini adalah satu tindakan biadap yang menunjukkan orang bukan Islam sudah mula berani mencampuri dan menganggu-gugat urusan Hal Ehwal Agama Islam serta merupakan usaha licik untuk menjejaskan aqidah umat Islam dan perpaduan negara,” tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, dengan gugurnya status agama di dalam kad pengenalan, maka ianya membuka ruang kepada orang Islam bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan dan tidak terikat dengan undang-undang syariah bahkan lebih merisaukan lagi ialah kebebasan umat Islam untuk murtad.

“Selain daripada itu, ia juga akan melibatkan selepas ini banyak undang-undang dan peraturan yang dikenakan kepada orang Islam akan mula diusik satu persatu.

“Ternyata, kenyataan untuk mengkaji penggunaan status agama ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan didominasi oleh Dap sehinggakan pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kononnya berhasrat memperjuangkan Islam dan Melayu tertunduk menyatakan hasrat untuk mengkaji semula cadangan ini,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu tegasnya lagi, Pemuda UMNO Malaysia mendesak sekeras-kerasnya kerajaan PH untuk tidak meneruskan sama sekali hasrat untuk mengkaji sebarang tuntutan daripada IFC melalui agen-agennya yang berada di dalam Dap.

“..yang pasti kesannya akan menimbulkan ketegangan antara agama yang bakal menggugat keselamatan dalam negara.

“Pergerakan Pemuda UMNO tidak akan teragak-agak menggerakan rakyat terutamanya orang Islam usaha bangkit menentang dan menghalang usaha menghapuskan status agama Islam dalam kad pengenalan rakyat Malaysia yang beragama Islam,” tambahnya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.