Perkasakan Agenda Penyatuan Ummah… Akibat Perpecahan, Orang Melayu Terpinggir Di Bumi Sendiri

KUANTAN, 27 April – Adalah menjadi hasrat dan tekad bagi kedua-dua parti orang Melayu terbesar di negara ini untuk memastikan agenda penyatuan ummah mesti diperkasakan, ujar Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegasnya, ini kerana tidak ada formula atau resepi selain rakyat mesti bersatu padu kerana perpecahan yang berlaku terutamanya di kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini menyebabkan mereka terpinggir di tanah air sendiri.

“Kita berpecah-belah sehingga ke tujuh kumpulan dan akhirnya kita yang sepatutnya menjadi penduduk majoriti berkuasa tetapi akhirnya hilang kuasa. Inilah natijah apabila berpecah.

“Jika kita tidak belajar daripada sejarah, kita akan dihukum berkali-kali. Maka belajarlah dari sejarah.

“Banyak tamadun-tamadun yang agung pada satu ketika dahulu tetapi disebabkan perpecahan dan persengketaan terutamanya daripada dalaman, tamadun tersebut akan jatuh akhirnya,” katanya dalam ucapan di Himpunan Perpaduan Ummah peringkat negeri Pahang, di sini malam tadi.

Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan serta pemimpin-pemimpin kedua-dua parti dari pelbagai peringkat.

Oleh kerana itulah jelas Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) lagi, usaha-usaha penyatuan ummah sedang dilakukan oleh kepimpinan parti UMNO dan PAS.

“Janganlah risau kepada mereka yang bukan beragama Islam ataupun bukan Melayu kerana agenda penyatuan ummah ini bukanlah agenda untuk meminggirkan sesiapa.

“Tetapi agenda penyatuan ummah ini adalah semata-mata untuk menyatupadukan rakyat khususnya orang Melayu Islam terlebih dahulu.

“Sekiranya penduduk yang majoriti di sesebuah negara bersatu padu, negara tersebut akan aman dan damai sepertimana yang pernah kita nikmati sebelum ini,” ujarnya.

Justeru, Mohamad membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang yang sedang mencuba-cuba, mengadu-domba dan mengasak orang Melayu dan Islam di negara ini ke dinding.

“Adalah amat tidak patut dan tidak rasional yang dilakukan oleh mereka kerana hendak menganjak batu sempadan yang telah kita sama-sama setuju dulu, batu sempadan yang kita setuju untuk memerdekakan negara, batu sempadan yang telah kita setuju tanam bersama tetapi hari ini batu sempadan nak dicabut dan dialih batu tandanya

“Maka itulah menyebabkan orang Melayu, Islam di tanah air ini merasa resah gelisah dan kita akan bangun bahawa hak orang Melayu, hak orang Islam jangan dicabar-cabar.

“Saya harap kerajaan berhati-hati mengeluarkan kenyataan-kenyataan, berhati-hati hendak membuat dasar kerana dasar-dasar baru menyinggung perasaan kita. Banyak janji-janji yang ditaburkan tetapi tidak ditunaikan,” tegasnya lagi.

Dalam majlis yang sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpandangan Himpunan Perpaduan Ummah yang diadakan adalah satu himpunan yang penuh bersejarah.

“Bersejarah kerana ia adalah himpunan terbesar orang Melayu dan Islam di negara ini. Bersejarah kerana ia himpunan yang menyemarakkan ruh perjuangan serta semangat kekuatan perpaduan ummah yang tidak pernah kita lihat dan rasai sebelum ini.

“Bersejarah kerana himpunan ini diadakan di Pahang, bumi bertuah yang berjaya kita pertahankan daripada ditakluki Pakatan Harapan.

“Bumi bertuah yang kita akan cetuskan gelombang kebangkitan ummah bagi membela nasib orang Melayu dan Islam yang semakin teruk ditindas oleh pemerintahan Pakatan Harapan,” jelasnya lagi.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu juga senada dengan Mohamad bahawa agenda penyatuan ummah yang dianjurkan oleh UMNO dan PAS langsung tidak berhasrat mahu menggugat kedudukan kaum-kaum lain di negara ini. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.