Gelar Ahli Akademik ‘Kangkung’, Menteri Perlu Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 26 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Muhamad Nur Aizat Noor Azam membidas kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyifatkan ahli akademik yang tidak bersependapat dengan keputusan Kabinet untuk meratifikasi Statut Rom sebagai profesor kangkung.

Jelas beliau, kenyataan tersebut amat memalukan malah merendahkan penghormatan diri seorang menteri.

“Rumusan yang disediakan oleh empat orang ahli akademik yang terbabit adalah berbentuk pendapat semata-mata dan rumusan mereka ini akhirnya diguna pakai oleh Majlis Raja-Raja dalam membuat keputusan. Sudah pasti, Majlis Raja-Raja telah memanggil pelbagai pihak untuk memberikan pendapat masing-masing.

“Namun sayangnya, rumusan yang dibuat oleh keempat-empat ahli akademik tersebut dianggap telah mengelirukan Majlis Raja-Raja sehingga menyebabkan Majlis Raja-Raja menitahkan Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan ratifikasi Statut Rom.

“Menteri harus sedar bahawa semua pihak mempunyai hak untuk memberikan pendapat mereka. Termasuk empat orang ahli akademik ini. Mereka terdiri daripada pensyarah-pensyarah yang amat disegani dengan pengalaman masing-masing. Adakah apabila ada pihak yang memberikan pendapat bercanggah dengan keputusan Kerajaan maka terus akan dianggap sebagai mengelirukan dan kelayakan mereka disamakan pula dengan ‘kangkung’?” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Aizat, sebelum ini kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sering melaung-laungkan kebebasan bersuara dan sekiranya benar mereka mengamalkan semangat keterbukaan seperti yang dicanangkan maka seharusnyalah pandangan yang disuarakan oleh empat ahli akademik ini diterima dengan baik.

“Tapi tindakan Menteri menggelar mereka ‘profesor kangkung’ jelas menunjukkan kebebasan bersuara seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah dikuburkan, dulu konon subur… sekarang masuk kubur.

“Maka, kepada Saifuddin, eloklah anda dengan secara terhomat sedar diri dan ambil langkah yang akan dihormati untuk menarik balik gelaran ‘kangkung’ ini dan seterusnya saya juga menyarankan anda untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Luar Negeri kerana kegagalan anda bukan sekali tapi dua kali dalam usaha Kerajaan Malaysia meratifikasi ICERD dan Statut Rom.

“Kepada rakan-rakan yang masih lagi mempertahankan pendapat bahawa Malaysia perlu menandatangani Statut Rom, eloklah sekiranya anda semua berusahan untuk memberikan penjelasan yang dapat menyakinkan rakyat dengan lebih baik. Cari solusi untuk memberikan penjelasan sewajarnya bahawa kedudukan dan kekebalan DYMM Yang Di Pertuan Agong tidak tergugat dengan Statut Rom. Buatlah kajian kenapa negara-negara kuasa veto seperti Amerikat Syarikat, Rusia dan China tidak menyertai Statut Rom, bukannya hanya meneruskan usaha mengherdik, memfitnah atau melabelkan individu yang tidak bersependapat dengan anda,” tegas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.