Tiga Dalil Pendapat Tun M Salah, Bidas Pemuda UMNO


PASIR GUDANG, 25 April – Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata entri terbaharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dalam laman blog peribadinya sekali lagi mengundang kontroversi.

Ujarnya, tanda-tanya juga timbul apabila kali ini Tun Mahathir memilih untuk menggunakan saluran blog peribadi dan bukan saluran rasmi kerajaan untuk menyatakan pandangannya.

Berhubung dengan isu yang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bangkitkan, tambah Noor Azleen lagi terdapat tiga dalil untuk menyangkal pendapat Tun Mahathir khususnya mengenai perenggan ke-13 entri tersebut.

“Pertama, Malaysia dibentuk atas konsep Federalisme (fahaman Persekutuan). Ianya termaktub dalam Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan.

“Atas konsep Federalisme inilah terdapatnya sistem dwi-kerajaan (dual government) yang mengiktiraf kewujudan kerajaan pusat di peringkat persekutuan dan juga kewujudan kerajaan-kerajaan negeri bagi setiap negeri dalam Persekutuan.

“Konsep Federalisme ini juga menyatakan dengan jelas pembahagian kuasa (demarcation of powers) antara kerajaan pusat dan negeri iaitu Senarai Perundangan, seperti yang terdapat Jadual Ke-Sembilan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Manakala yang berikutnya adalah mengenai Jadual Ke-Lapan Perlembagaan Persekutuan pula menjamin hak Raja dan Perlembagaan Negeri, katanya lagi.

“Artikel 71 (1) dengan jelas menyatakan Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri bagi setiap negeri yang membentuk Persekutuan.

“Ketiga, Artikel 181 (1) pula menyentuh mengenai Kedaulatan Raja-Raja yang mengabsahkan Perlembagaan Persekutuan.

“Kedaulatan Raja-Raja Melayu termaktub dalam Perkara 181 (1) iaitu kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu tambahnya adalah jelas ketiga-tiga fakta berdasarkan perkara-perkara yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini membuktikan kali ini Tun Mahathir telah silap.

Menurut Noor Azleen juga, Tun Mahathir sebenarnya terbawa-bawa (carried away) dengan ego dan persengketaan berpanjangan beliau dengan pihak Istana Johor mengenai beberapa isu, khususnya yang terbaharu mengenai pelantikan Menteri Besar serta rombakan barisan Exco Johor.

“Sewajarnya beliau memberikan fokus dan lebih tumpuan kepada isu utama yang membelenggu negara pada hari ini, iaitu usaha-usaha untuk memulihkan keadaan ekonomi negara yang kian mundur.

“Daripada beliau sibuk menggunakan isu ini untuk meraih simpati rakyat, akibat kegagalan pentadbiran beliau menguruskan ekonomi negara,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.