Statut Rom: Menteri PH! Sila Hormat Keputusan Kerajaan Anda, Jangan Berniat Jahat Sembunyi Agenda


KUALA LUMPUR, 25 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan kerajaan mereka sendiri.

Ismail yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti itu juga dengan tegas mahu kerajaan PH mengambil tindakan segera membatalkan ratifikasi Statut Rom tanpa berdolak-dalih lagi.

Jelasnya, membaca kenyataan terbaru Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas menunjukkan beliau masih mahu memperjuangkan Statut Rom Jenayah Mahkamah Antarabangsa (ICC) sehingga diratifikasikan oleh kerajaan PH dengan kenyataan “Jalan mati buat ICERD tapi Statut Rom kita akan lihat bagaimana (kesudahannya) nanti” – FreeMalaysia Today / 23 April 2019 menunjukkan beliau dan PH akan memperjuangkan Statut Rom ini walau mendapat tentangan dari rakyat dan pihak pembangkang.

“Bagi saya dengan kenyataan Saifuddin ini mereka masih berniat jahat terhadap Institusi Raja-Raja Melayu. Beliau tidak bercakap benar dalam parlimen tentang kegagalan membawa Statut Rom ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Menteri luar ketika menjawab dan menggulung perbahasan di dalam parlimen tidak memberi jawapan dengan jelas seolah-olah ingin menyembunyikan agenda sebenar mereka terutamanya apabila cuba mengelak dari menjawab mengenai keperluan kerajaan berdasarkan perlembagaan untuk membentangkan Statut Rom kepada Majilis Raja-Raja.

“Jelas kenyataan kali ini membayangkan Saifuddin masih berniat untuk meratifikasi Statut Rom dengan apa cara sekali pun dan saya merasa ada sesuatu yang memaksa beliau untuk terus dan terus bercakap berkaitan Statut Rom walhal pada 5 April lalu Perdana Menteri sendiri yang mengumumkan selepas mesyuarat kabinet bahawa mereka membatalkan niat untuk meratifikasikan Statut Rom. Tindakan ini jelas membelakangkan keputusan kabinet dan tidak menghormati Perdana Menteri,” tegas Ismail yang juga Ketua Pembangkang dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Bera itu lagi, di atas kegagalan menjawab dan menyembunyikan fakta sebenar kepada Dewan Rakyat, barisan pihak pembangkang telah mengemukakan usul potong gaji terhadap menteri luar tersebut.

“Dalam pada itu juga sikap yang tidak mencerminkan seorang menteri dengan tindakan beliau menggelarkan ‘Prof Kangkung’ kepada Profesor yang membentangkan laporan kepada Majlis Raja-Raja sebagai tindakan angkuh dan biadap.

“Dikhabarkan melalui menteri pendidikan bahawa profesor dan beberapa ahli akademil ini akan dipanggil dan diambil tindakan menjelaskan sikap kerajaan yang tidak terbuka kepada pandangan yang berbeza dengan mereka.

“Ianya jauh bertentangan dengan apa yang mereka laungkan sebelum menjadi kerajaan,” bidasnya lagi.

Malahan kini Ismail memahami mengapa pihak kerajaan tidak mengambil cadangannya di dalam Dewan Rakyat supaya kerajaan mengumumkan dan merekodkan di dewan tersebut mengenai keputusan kabinet untuk membatalkan ratifikasi Statut Rom melalui pernyataan menteri.

“Saya difahamkan jika pembatalan tidak dilakukan sebelum Jun 2019 maka walaupun dibatalkan selepas itu Statut Rom ini akan terus berkuatkuasa selama satu tahun dari tarikh ratifikasi.

“Setakat ini kita mahu kerajaan menjelaskan mengenai status tindakan membatalkan proses ratifikasi ini kepada rakyat,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.