Peruntukan Untuk Sandakan Bukan Mengejutkan, Asyik ‘Kebetulan’ Dalam PH – Bung Mokhtar


KUALA LUMPUR, 24 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin melihat peruntukan untuk pembangunan daerah Sandakan bukanlah perkara yang baharu.

Ditambah pula kata beliau dengan adanya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut pada bulan depan menjadikan ianya juga bukanlah perkara yang mengejutkan semua pihak terutama masyarakat di negeri berkenaan.

“Apabila ada PRK sudah tentu parti memerintah akan melakukan apa sahaja dan ini termasuk membuat pengumuman pengagihan projek dan sebagainya. Sudah tentu Parlimen Sandakan akan dapat limpahan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Katanya, perkara tersebut juga dapat dilihat dalam beberapa PRK sebelum ini yang mana wujudnya secara ‘kebetulan’ pelbagai perkara yang diumumkan oleh kerajaan.

“Ini turut berlaku pada PRK yang lalu, namun apa pun pada saya rakyat tidak lagi boleh ditipu dengan pengumuman projek di kawasan tertentu. Rakyat sudah tahu apa yang mereka perlu buat nanti.”

Tegasnya lagi pihak yang berkaitan perlu melihat soal berkenaan kerana pada masa yang sama timbul persoalan apakah ianya boleh dianggap satu kesalahan dalam pilihan raya.

“Kalau ikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), perkara sebegini adakah satu kesalahan dalam mana-mana pilihan raya, sebab parti pemerintah menyalahgunakan kuasa meluluskan projek semasa PRK diadakan,” soalnya.

Terdahulu dilaporkan, Putrajaya meluluskan 49 projek bernilai RM2.28 bilion di Sandakan, dan menyediakan peruntukan RM183 juta untuk membiayai projek-projek itu yang sedang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Kenyataan menteri berkata antara projek itu ialah pemanjangan landasan dan penambahbaikan apron Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 juta dan rancangan tebatan banjir Sungai Anip dianggarkan bernilai RM40 juta.

Namun begitu, semalam Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas PH yang mahu mengambil laba politik menjelang PRK Parlimen Sandakan hingga menutup kebenaran kerana dua buah projek ini sebenarnya telah diluluskan di bawah RMK-11 bagi tempoh 2016-2020 ketika pembentangannya pada tahun 2015 oleh kerajaan Barisan Nasional. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.