NGO GerakPadu Rancang Himpunan 4 Mei Ini Jika Kerajaan Terus Dolak Dalih Isu Statue Rome

KUALA LUMPUR, 25 April – Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii menggesa agar kerajaan menyatakan secara jelas berhubung status sebenar Statut Rom yang hari ini dilihat ditimbulkan kembali oleh pihak kerajaan.

Menurut beliau melihat kepada situasi hari ini, kerajaan Pakatan Harapan dengan menggunakan agensi kerajaan dan juga semua media untuk mempengaruhi rakyat bagi mereka meratifikasi Statut Rom dan juga ratifikasi yang telah dibantah seperti ICERD.

“Saya lihat mereka akan gunakan dana kerajaan, duit rakyat agar ICERD diterima pada satu hari nanti. Begitu juga Statut Rom apabila Menteri Luar mengadakan sidang media serta wawancara khas menyatakan berkenaan Statut Rom.

“Pada masa yang sama saya juga mendapat berita bahawasanya tiada hitam putih daripada kerajaan dan tidak ada surat rasmi seperti mana yang diminta oleh Datuk Seri Ismail Sabri di Parlimen mengatakan bahawa bukti-bukti kerajaan Malaysia sudah menarik balik Statute Rom dengan sahnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Serentak itu beliau menegaskan jika sekiranya tidak terdapat apa-apa maklumbalas secara rasmi daripada kerajaan berhubung soal berkenaan, pihaknya akan mengadakan perhimpunan pada 4 Mei nanti di Dataran Merdeka.

“Kita berikan kerajaan masa… segala urusan telah dibuat dan kita akan jemput seluruh rakyat yang sayangkan kedaulatan Raja-Raja dan juga institusi Raja ini untuk kita sama-sama membantah dan mengilhamkan satu kesatuan untuk menjunjung Majlis Raja-Raja sebagai satu badan bukan ‘rubber stamp’ tetapi satu badan yang perlu kita angkat dan hormati demi kedaulatan Raja-Raja Malaysia,” tambahnya.

Tambahnya lagi sehingga ke hari ini tidak dibuktikan oleh apa-apa surat daripada kerajaan Malaysia dihantar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengatakan bahawa Malaysia telah menarik balik secara sah Statut Rom ini.

“Jadi kita sebenarnya sudah banyak masa beri kepada kerajaan untuk menyatakan dengan serius bahawasanya Statut Rom yang ditandatangani tempoh hari adalah melanggar Perlembagaan Malaysia dan kita tahu telah mengguris Majlis Raja-Raja,” tegasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu keputusan kerajaan berhubung penarikan diri daripada menyertai Statute Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) direkodkan di Parlimen. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.