Kerajaan Buat Kerja Sebagai Kerajaan… Ada Yang Bercita-cita Mahu Menjadi Raja Pula?

KUALA LUMPUR, 23 April – Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia membidas segelintir pihak yang seolah-olah mempunyai cita-cita mahu menjadi raja sehingga mencampuri bidang kuasa Majlis Raja-raja.

Pengerusi Klusternya, Nik Saiful Adli Burhan menyeru semua pihak menghormati proses pelantikan Hakim sebagaimana telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu Nik Adli mempersoalkan apa yang cuba penyokong kuat Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin sampaikan apabila membuat desakan kepada Majlis Raja-raja untuk terus secepat mungkin menerima cadangan perlantikan Ketua Hakim Negara oleh Perdana Menteri.

“Apa yang Datuk Dr Asyraf Wajdi (Ketua Pemuda UMNO) jelaskan dalam kenyataan beliau adalah mengenai proses perlantikan Hakim sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada isu untuk dipertikaikan melainkan Khairuddin tidak faham perlembagaan, sebab itulah beliau menyerang peribadi Dr Asyraf, bukannya bercakap berasaskan peruntukan undang-undang.

“Jangan pertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja. Sudah menang menjadi kerajaan, buatlah kerja sebagai kerajaan. Jangan pula ada yang bercita-cita mahu menjadi raja,” bidasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, jelas disebut dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Raja-raja menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam urusan perlantikan mana-mana jawatan yang diperuntukkan melalui Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan yang sama, Nik Adli yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia tertanya-tanya apakah maksud kenyataan penyelaras Parlimen Jasin itu mengenai zaman UMNO yang dikatanya menodai institusi kehakiman dan memperalatkan bidang kehakiman untuk melindungi kemungkaran.

“UMNO telah memerintah negara ini selama 60 tahun dengan enam orang Perdana Menteri termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad. Sepanjang 60 tahun tersebut, hanya sekali berlaku krisis yang dinamakan Krisis Kehakiman 1998 yang mana Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dipecat.

“Jika zaman ini dikatakan Institusi Kehakiman dinodai UMNO, sememangnya semua sudah maklum mengenainya bahkan ianya sejarah hitam dalam sistem kehakiman negara ini. Siapa tak kenal Perdana Menteri ketika itu?

“Namun ketika Perdana Menteri yang sama menjadi Perdana Menteri ketujuh, kes-kes mahkamah individu berkepentingan politik seperti Lim Guan Eng dan Rafizi Ramli sewenang-wenangnya dibebaskan tanpa melalui perbicaraan. Adakah ini juga kerana campurtangan UMNO?” soalnya lagi.

Tambahnya, ini berbeza ketika zaman pentadbiran Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, tiada campurtangan politik dalam kehakiman negara. Malah di akhir pemerintahannya, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009. Ia dianggotai Hakim, Bekas Hakim dan ahli akademik. Tiada langsung orang politik.

“Pada Zaman Datuk Sri Najib, Suruhanjaya ini dikekalkan dan menjalankan fungsi melantik Hakim serta menentukan kenaikan pangkat bagi Hakim-hakim di semua peringkat. Suruhanjaya inilah yang mencalonkan nama Hakim kepada Perdana Menteri untuk dipersembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.