Matrikulasi: KPM Didesak Tidak Tunduk Kepada Tuntutan Mana-Mana Parti Politik

KUALA LUMPUR, 22 April – Pengerusi NGO Keilmuan Nasional Zambri Mohd Isa berharap, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan tunduk kepada tuntutan mana-mana parti politik untuk membuka sewenang-wenangnya tempat kepada pelajar bukan bumiputera dalam Program Matrikulasi KPM.

Jelas beliau, KPM seharusnya mengekalkan objektif penubuhan asal program matrikulasi KPM yang selari dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Keilmuan Nasional juga menuntut KPM berunding dengan semua pihak yang berkepentingan supaya satu dasar kemasukan program matrikulasi yang jelas dapat dilaksanakan tanpa mengenepikan objektif penubuhan asal program matrikulasi KPM iaitu membantu pelajar bumiputera.

“Selain itu kami berharap mana-mana pihak bukan bumiputera tidak menuntut kuota dan tempat kerana objektif penubuhan program matrikulasi KPM ialah membantu pelajar bumiputera. Namun, sekiranya terdapat kekosongan dan keperluan mendesak adalah wajar pihak KPM untuk meneliti dan memberi ruang kepada pelajar bukan bumiputera memohon dan diberi tempat dan ruang,” ujar beliau dalam satu kenyataan mediahari ini.

Tambah Zambri, Keilmuan Nasional turut memandang serius sekaligus menyelar kecuaian dan kegagalan KPM dalam menentukan dasar yang jelas tentang kemasukan pelajar ke program matrikulasi 2019.

“KPM juga seharusnya memperhalusi semula dasar kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM agar ia tidak mengelirukan mana-mana pihak.

“Kami menerima banyak maklum balas yang diterima daripada pelajar dan masyarakat akan kerisauan tentang proses kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi KPM yang dikatakan agak kelam-kabut dan tidak jelas syarat kemasukannya.

“Ia juga dituruti dengan beberapa kenyataan media oleh pihak KPM yang agak mengelirukan tentang dasar kemasukan ke program matrikulasi KPM… perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.