PH Tidak Jujur Dengan Rakyat… Ke Mana Perginya Janji-janji?


JOHOR BAHRU, 21 April – Pemuda UMNO Johor menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya bersikap malu kerana berjanji bulan dan bintang tetapi tidak bersedia menunaikannya.

Bidas Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, PH yang dirujuknya juga sebagai Pakatan Haprak itu adalah sebuah kerajaan yang gagal memenuhi janji-janji sendiri ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), hampir setahun lalu.

“Mungkin kumpulan mereka telah biasa melakukan penipuan dan fitnah. Kerana itulah mereka tidak malu untuk berdepan dengan rakyat yang sentiasa menuntut janji mereka.

“Golongan anak muda terutamanya turut terkesan dengan peralihan pemerintahan ini. Manifesto yang dianggap anak muda seperti bulan jatuh ke riba, hari ini, mungkin hanya tinggal kenangan, memang tidaklah harapannya.

“Keangkuhan pakatan yang bongkak ini semenjak menang PRU14 ini boleh dilihat melalui kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkata bahawa PH tidak perlu meminta maaf ekoran gagal memenuhi janji 100 hari dalam manifesto mereka.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, selain dibarisi kabinet yang dikenali sebagai menteri ‘rebrand’ terhadap dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dahulunya diperkecilkan, rakyat juga melihat kerajaan hari ini hanyalah pandai menabur janji dan manis mulut bila berbicara.

“Mana janji kurangkan kos sara hidup rakyat? Mana janji hendak bantu turunkan harga minyak?

“Mana janji tidak bebankan rakyat? Mana janji pendidikan percuma di institusi pendidikan? Ianya hanyalah dongeng semata-mata tanpa pelaksanaan,” soalnya lagi.

Begitu juga bidasnya lagi mengenai semakin banyak isu-isu berbangkit terutamanya yang membabitkan kepentingan umat Islam, memartabatkan bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, di mana prinsip rukun negara gagal diuruskan dengan baik.

“Oleh itu, rakyat perlulah sedar bahawa PH bukanlah merefomasi pentadbiran sebaliknya tidak berjaya menyatukan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia di mana menteri yang rasis dilantik sebagai menteri yang menjaga perpaduan.

“Memalukan,” tegasnya.

Justeru katanya, jelas satu kerugian bagi negara ini kerana mempunyai sebuah kerajaan yang huru-hara serta tidak jujur kepada rakyatnya sendiri. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.