Ekonomi Negara Makin Parah? Dasar Populis PH Gagal… Mana Guan Eng?


KUALA LUMPUR, 18 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan dimana Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam keadaan ekonomi negara yang semakin parah.

Tegasnya, sepatutnya dalam keadaan ekonomi yang makin parah, rakyat marhain yang harus dibela namun sebaliknya yang berlaku.

“Lebih meresahkan apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilihat lebih mementingkan tauke-tauke kaya berbanding rakyat marhain. Tauke-tauke yang selama ini berjaya melarikan diri dari membayar cukai yang sepatutnya dibayar kepada negara (Black Economy) melalui sistem percukaian lama, bukan sahaja dibela dengan pemansuhan GST tetapi dikhabarkan Guan Eng telah membayar balik RM 19 bilion nilai input cukai GST walaupun pihak kastam hanya mengesahkan cukai input setakat ini RM5 bilion.

“Duit Petronas RM82 bilion yang dijarah sewajarnya diutamakan untuk menambah bantuan kepada rakyat marhain berbanding membayar balik cukai input GST kepada tauke-tauke yang kaya.

“Ternyata, dasar populis Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST yang terbukti bukan sahaja gagal menurunkan harga barang dan kos sara hidup rakyat sebagaimana yang dijanjikan, malah mula menampakkan kesan buruk terhadap prestasi keseluruhan ekonomi dan keyakinan pelabur asing terhadap kemapanan kewangan negara.”

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini yang disiarkan menerusi laman Facebooknya selepas menonton ulasan penganalisis kewangan daripada UBS Group AG, sebuah bank pelaburan terkemuka antarabangsa di Bloomberg TV.

“… yang pastinya amat menakutkan dan menggusarkan kita semua. Sentimen pelabur antarabangsa terhadap kedudukan ekonomi dan kewangan negara nampaknya semakin buruk.”

Katanya, baru-baru ini Tabung Persaraan Global Norway telah mengeluarkan semua pelaburan yang dibuat di pasaran Malaysia baik Bon atau Ekuiti berjumlah RM8.0 billion.

“Semalam FTSE Russel yang berpangkalan di London menggambarkan kemungkinan akan mengeluarkan Bon Malaysia dari indeks Bon Global mereka. Manakala pasaran Bursa Malaysia KLSE adalah satu-satunya pasaran Asia yang mencatatkan kerugian.

“Malaysia juga dikatakan bakal mengalami aliran keluar modal asing sehingga mencecah RM42 billion. Kalau ini berterusan kita akan menyaksikan kesuraman pasaran modal negara, setelah nilai saham-saham di Bursa Malaysia mengalami kerugian RM270 bilion tahun lepas akibat harga saham jatuh teruk selepas PRU14.”

Jelasnya, kelmarin sahaja Ringgit Malaysia (RM) mencatatkan kejatuhan nilai tertinggi sejak tahun 2016 dan kini diperdagangkan pada kadar USD1 berbanding RM4.12.

“Video yang saya kepilkan ini juga menunjukkan wakil dari UBS Group AG mengaitkan ‘permasalahan ekonomi Malaysia’ berpunca daripada ketempangan dasar ekonomi Kerajaan PH yang membuat penetapan harga minyak dunia USD70 di dalam anggaran Belanjawan 2019 sekaligus menyebabkan kebergantungan tinggi negara pada hasil minyak sehingga 30% di dalam pendapatan Belanjawan 2019 dan pelaksanaan sifar GST selama 3 bulan.

“Dalam situasi sebegini, di mana Guan Eng selaku Menteri Kewangan? Masihkah beliau boleh diharapkan untuk merencana strategi memulihkan keyakinan pelabur asing dan ekonomi negara?

“Mungkin ada mesej tersirat apabila YAB Perdana Menteri terpaksa meminta bantuan Tun Daim bukan Menteri Kewangan untuk mewakili kerajaan berunding dengan China berkenaan dengan ECRL!” – MediaUMNO