PH Tidak Tahu Bekerja Sebagai Kerajaan – Suraya

ALOR SETAR 17 April – Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang gemar menjenamakan semula idea-idea atau projek kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu menandakan parti itu tidak tahu bekerja sebagai kerajaan, sebaliknya hanya sesuai menjadi pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, menteri-menteri PH sepatutnya bersikap rasional dan tidak perlu malu untuk meneruskan dasar, program atau idea kerajaan BN yang terbukti berkesan memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Menurutnya, proses penjenamaan semula projek-projek BN daripada semasa ke semasa yang dilakukan kerajaan PH, hanya akan melibatkan kos yang tinggi, sedangkan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi sering melaung-laungkan bahawa hutang negara tinggi dan meminta rakyat bersabar termasuk mengikat perut.

“Sebagai contoh yang terkini apabila Kementerian Pendidikan melakukan penjenamaan terhadap Program Permata Negara (Permata) kepada Genius?… Apa perlunya semua ini, sudahlah Genius itu bukan bahasa kebangsaan.

“Malah, perubahan kepada nama program itu akan melibatkan kos membuat semula papan tanda, kepala surat dan banyak lagi perlu ditukar yang semuanya memerlukan kos yang juga melibatkan duit rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, Kabinet bersetuju terhadap penukaran nama tersebut yang bertujuan memberikan satu jenama baharu supaya menjadi lebih berdaya saing dan bersemangat.

Sementara itu, Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri menambah, Permata sebenarnya bukan fokus kepada ‘genius’ seperti yang dibayangkan Menteri Pendidikan dan ia ditubuhkan bagi memastikan peserta program itu bersedia untuk menghadapi cabaran hidup pada masa akan datang.

“Menteri perlu menghayati konsep asas dan tujuan sebenar penubuhan Permata, contohnya, Permata Kurnia merangkumi pendidikan untuk anak-anak kurang upaya seperti dyslexia dan cerebral palsy. Permata adalah demi masa depan anak-anak Malaysia, bukan alat politik mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau pada masa sama bimbang sekiranya ‘penambahbaikan’ dasar yang dinyatakan menteri-menteri PH itu, lebih kepada mahu ‘merosakburukkan’ dasar dan menyusahkan rakyat.

“Itu yang berlaku kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang dikurangkan waktu perkhidmatan dan hanya menawarkan khidmat pada masa-masa tertentu sahaja, ini sama sekali bercanggah daripada konsep asalnya yang ditubuhkan untuk memudahkan rakyat.

“Justeru, saya harap kerajaan PH jangan jadi ‘pak pandir moden’, hentikan ego politik mereka dan bersikap rasional demi kebajikan rakyat. Jika tidak tahu menjadi kerajaan yang baik bubarlah Parlimen serta semua kerajaan negeri dan adakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) saya yakin majoriti rakyat akan kembali memberi mandat kepada kerajaan BN dan PAS,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.