Laluan Baharu ECRL Langkah Politik PH – Pandangan Geosaintis


KUALA LUMPUR, 17 April – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia beranggapan bahawa laluan baru Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diubah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu langkah politik.

Jelas Ketuanya, Shahir Adnan ia bukanlah satu keputusan yang berteraskan faktor geologi dan alam sekitar seperti dicanang PH.

“Kenapa pula Lynas diteruskan walhal dahulu berdemonstrasi mahu menghentikan operasi sewaktu menjadi pembangkang untuk memelihara alam sekitar?

“Kini laluan ditukar kerana mahu memelihara alam sekitar. Kita harap kerajaan Pakatan Harapan berhenti memberikan alasan-alasan yang mengelirukan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Jelasnya lagi, berita pertukaran laluan ECRL heboh diperkatakan oleh semua pihak dan menariknya, isu geologi turut menjadi antara perbahasan pihak penyokong PH dan pembangkang.

“Antara perkara yang hebat diperkatakan adalah ‘Quartz Ridge’ atau pun Jajaran Kuarza yang terkenal dengan nama Klang Gate Ridge, terletak di antara Gombak ke Ampang, dengan saiz 16 kilometer panjang dan 200 meter lebar.

“’Quartz’ ini merupakan mineral berbentuk kristal yang terdapat di dalam batuan. Laluan asal ECRL sepatutnya menghubungkan Bentong ke Gombak melalui Klang Gate Ridge ini. Sebenarnya, laluan asal tersebut tidak akan menghancurkan struktur 16 kilometer ini kerana pembinaan terowong dilakukan dengan saiz yang minima untuk laluan tren sahaja.

“Ancaman sebenar kepada Klang Gate Ridge adalah pembinaan perumahan di sepanjang Gombak ke Ampang yang kian menghakis struktur geologi ini di atas permukaan bumi,” ujar Shahir yang juga seorang ‘Geoscientist’ yang sememangnya arif dan pakar dalam bidang kaji bumi.

Shahir turut mengulas berhubung dengan pendapat yang mengatakan jajaran baharu lebih baik.

“Terdapat juga pendapat bahawa laluan baru lebih baik kerana tidak melalui sesaran, atau ‘fault zone’, khususnya Bukit Tinggi Fault.

“Untuk pengetahuan rakyat Malaysia, laluan baru ECRL akan melalui Lebir Fault, Lepar Fault, Bentong Fault, Kuala Lumpur Fault, dan terbaru adalah Putrajaya-Seremban Fault.

“Oleh itu, perbahasan struktur Bukit Tinggi Fault tidak boleh digunapakai kerana laluan baru akan melalui tambahan Putrajaya-Seremban Fault,” tambahnya lagi.

Justeru katanya, rakyat tidak perlu risau dengan pandangan ‘fault zone’ dan gempa bumi berkaitan pembinaan ECRL.

“Gempa bumi hanya berlaku apabila ‘fault zone’ diaktifkan disebabkan oleh tenaga dalam bumi yang dilepaskan.

“ECRL tidak akan mengaktifkan ‘fault zone’ ini,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.