Janji Manifesto Tidak Tunai, Gagal Pula Turunkan Kos Sara Hidup Rakyat – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 17 April – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melihat kerajaan hari ini bukan sahaja gagal memenuhi segala janji yang terkandung di dalam manifesto mereka malah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Sambil menyifatkan kerajaan hari sebagai kerajaan yang gagal, beliau seterusnya menyenaraikan beberapa perkara yang dijanjikan sebelum ini namun ia menjadi sebaliknya setelah mereka menjadi pemerintah malah lebih memburukkan lagi keadaan cukai-cukai baru pula menyusahkan rakyat termasuklah pengenalan semula Sales and Service Tax (SST) setelah dihapuskan Goods And Services Tax (GST).

“Mereka adalah kerajaan yang gagal… gagal kerana tidak memenuhi manifesto yang sepatutnya dilaksanakan dalam 100 hari, gagal kerana manifesto yang tidak dinyatakan dalam 100 hari pun mereka belum melaksanakannya malah mereka langgarnya. Contoh ialah tidak melantik YDP Dewan Rakyat daripada kalangan Ahli Parlimen, dan itu ada dalam manifesto mereka… tidak melaksana Suruhanjaya Diraja bagi Felda dan juga 1MDB serta Tabung Haji sedangkan itu yang mereka janjikan. Ini adalah kegagalan dari segi menunaikan manifesto 100 hari dan juga bukan 100 hari.

“Kos sara hidup tidak turun, cukai-cukai baru yang menyusahkan rakyat diwujudkan… contoh Service Tax… Sales Tax… itu yang berlainan… SST itu pecah dua… cukai perkhidmatan dan juga cukai jualan. Levi pelepasan iaitu mereka yang mahu pergi ke luar negara dan cukai perkhidmatan digital…

“Ini yang orang ramai tidak tahu serta tidak ramai yang ulas dan baru-baru ini mereka luluskan cukai soda. Jadi ada lima cukai baharu yang akan dilaksanakan. Kita dulu tidak ada lima cukai berkenaan dan kita hanya ada satu iaitu GST… sekarang sebagai ganti GST itu nampaknya ada lima cukai,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sehubungan itu Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mempersoalkan bagaimanakah kos sara hidup boleh diturunkan jika cukai bertambah bilangannya.

“Justeru pada saya dari segi tajuk kos sara hidup mereka gagallah… dan ditambah lagi dengan polisi-polisi yang mereka buat banyak yang u-turn. Antara yang u-turn… Statute Rom u-turn, kemudiannya PTPTN u-turn… lagi satu polisi-polisi mereka juga ‘copy paste’… tukar nama… Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), Program Permata Negara (PERMATA) kepada Genius, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) kepada Pusat Komuniti Desa (PKD), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), AES kepada AWAS,” tambahnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.