Hanya Satu Perkataan Yang Boleh Gambarkan Pentadbiran Kerajaan PH iaitu GAGAL

SEMENYIH, 17 April – Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, menjelang setahun pentadbiran kerajaan baru Pakatan Harapan (PH), hanya satu perkataan sahaja yang boleh menggambarkan bagaimana cara mereka mentadbir negara iaitu G.A.G.A.L.

Jelas beliau, jika dulu rakyat mengharapkan sinar di bawah pentadbiran kerajaan baru namun sayangnya ia tidak menjadi kenyataan sebaliknya hidup rakyat semakin tertekan.

“Tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan sebab itu saya kata perkataan paling sesuai untuk menggambarkan PH adalah kegagalan. Rakyat semakin tertekan di bawah pimpinan PH dan sebab itu dapat dilihat dengan jelas bila rakyat menterjemahkan dalam beberapa siri pilihan raya kecil.

“Kita cukup menghormati demokrasi yang diamalkan dalam negara ini. Sebab itu bila PH menang pada PRU-14 yang lalu, kita serahkan Putrajaya tanpa ada sebarang masalah walaupun digembar-gemburkan akan berlaku rampasan kuasa dan sebagainya. Maka, sepatutnya mereka menggunakan kemenangan ini dengan menunaikan segala janji dan harapan yang yang telah ditaburkan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Rizam, rakyat sememangnya terpengaruh dengan segala janji manis PH terutama berkaitan kos sara hidup seperti hapuskan tol, turunkan harga barang, turunkan harga minyak dan mengurangkan hutang negara tapi semua tidak ditunaikan.

“Alasan yang diberi kerana kerajaan tidak ada duit namun kerajaan PH harus sedar, rakyat tidak mahu mendengar alasan kerana apa yang mereka mahu adalah tunaikan janji. Ini tidak… asyik-asyik ulang skrip yang sama dan tuding jadi kepada pentadbiran kerajaan dulu.

“Inilah yang membuatkan rakyat marah. Apatah lagiapabila rakyat mula melihat satu demi satu aset negara dijual. Khazanah contohnya… ini ibarat pusaka negara yang sepatutnya diurus dengan baik malah dulu Khazanah tidak pernah rugi… tapi belum setahun PH memerintah, Khazanah rugi berbilion ringgit,” bidas beliau.

Selain itu ujar beliau, sudahlah janji gagal ditunaikan, mereka bakar lagi kemarahan rakyat apabila cuba membawa perkara-perkara yang mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian negara termasuk mencabar Perlembagaan Negara.

“ini sangat sensitif. Contohnya ICERD, Statut Rome, ada pula individu yang semakin berani menghina Agama Islam. Kebebasan bersuara semakin disalahgunakan kerana PH telah ‘meracuni’ fikiran rakyat khususnya ahli mereka.

“Sebab itu ada yang berani untuk memartabat dan memperjuangkan LGBT. Ini semua menggambarkan betapa lemahnya pentadbiran kerajaan hari ini. Sebab itu kita juga dapat melihat rakyat begitu berani mencabar anggota polis.

“… dengan beraninya mereka mahu memeriksa anggota polis dengan alasan ‘kita sudah menang… kita berkuasa’… Ini menggambarkan betapa rosaknya tatasusila rakyat khususnya penyokong PH. Mereka gagal mendidik ahli mereka untuk hormat Perlembagaan dan kedaulatan negara. Ini belum lagi kegilaan Peguam Negara dan ketidakadilan yang semakin jelas dalam Parlimen dan perkara ini semua tidak sepatutnya berlaku. Bayangkan kalau ini semua berlaku semasa BN memerintah… sudah pasti BN akan dikejam sehingga ke tulang hitam,” ujar beliau.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat terus melihat dan memerhati secara dekat, seterusnya bezakan antara kedua-dua pentadbiran, akhirnya bersuaralah dengan bijak pada PRU-15 nanti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.