PRK Rantau Signal Kepada PH Untuk Laksanakan Janji-janji Dalam Manifesto – Fadwah


KUALA LUMPUR, 16 April – Exco Pergerakan Puteri UMNO, Fadwah Anuwar berkata, kemenangan hatrik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memberi signal kepada Pakatan Harapan(PH) agar memberikan keutamaan dalam melaksanakan janji-janji dalam manifestonya.

Fadwah menjelaskan, antara perkara penting yang diperlukan oleh golongan muda masa kini ialah suatu mekanisme penambahbaikan sara hidup yang bersifat jangka panjang dan bukannya bersifat jangka pendek.

“Peningkatan undi BN di saluran orang muda PRK Rantau cukup ketara kerana orang muda lebih terdedah dengan media sosial… mereka adalah pemerhati (watchdog) kepada setiap tingkah yang kerajaan lakukan.

“Apabila kerajaan PH gagal menunaikan segala janji termasuk manifesto maka anak muda mula dapat menilai dan menzahirkan ketidakpuasan hati melalui undi. Orang muda juga semakin muak apabila keputusan-keputusan kerajaan tidak menggembirakan dengan sikap ‘blame game’ terhadap kerajaan terdahulu.”

Katanya, kerajaan PH juga dilihat tidak mengambil serius isu-isu sensitif yang menyentuh hal bangsa dan agama.

“Lantai politik Malaysia adalah berasaskan sentimen bangsa dan agama, jika dua perkara berkaitan ini tidak dapat ditangani dengan cara baik, maka rakyat akan bertindak balas terutamanya golongan muda yang sentiasa melihat pentadbiran kerajaan Malaysia Baru,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tegas Fadwah, kempen PH di PRK Rantau juga ibarat ‘tembakan yang kuat tapi ianya cuma peluru kapur’ mana mungkin ia berlawan dengan kredibiliti Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat yang bukan sahaja menjadi buah hati Rantau tetapi pemimpin idola rakyat Malaysia lebih-lebih lagi golongan muda.

“Kerana itulah apabila pelbagai tohmahan, fitnah, provokasi yang melampau dan menyentuh peribadi Tok Mat telah dimainkan oleh PKR ketika kempen PRK Rantau, pengundi di situ khususnya orang muda tidak ‘termakan’ dengan cara negatif tersebut.

“Sekiranya trend ini berterusan tidak mustahil penolakan secara nyata terhadap Kerajaan PH dapat dilihat bukan sahaja melalui PRK tetapi juga melalui cara lain.

“Memang benar pemerintahan Kerajaan PH baru 11 bulan tetapi itu bukan persoalannya. Persolannya adalah mengapa Kerajaan PH tidak menunjukkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik berbanding semasa pemerintahan Kerajaan BN,” tegas beliau.

Untuk rekod, PRK Rantau adalah yang PRK ketujuh selepas PRU-14. Ia diadakan berikutan ketidakpuasan calon PKR, Dr S Streram yang seterusnya memfailkan petisyen di mahkamah untuk membatalkan kemenangan BN.

Mohamad mempertahankan kerusi Dun Rantau bagi kali ke empat sejak disandangnya pada 2004.

PRK Rantau baru-baru ini menyaksikan beliau menang dengan memperolehi 10,397 undi dengan majoriti 4,510, Dr Streram 5,887 undi manakala calon Bebas, Mohd Nor 79 undi dan Malarvizhi 83 undi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.