Penghinaan Terhadap Institusi Diraja Tidak Boleh Dipandang Ringan- Tengku Hassanal

KUANTAN, 15 April – Penghinaan terhadap institusi diraja tidak sepatutnya berlaku untuk sebuah negara yang mengamalkan Sistem Raja Perlembagaan yang meletakkan raja sebagai kuasa tertinggi khususnya dalam hal ehwal agama Islam.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah baginda amat terkesan terhadap perbuatan pihak tertentu yang menghina institusi diraja baru-baru ini dan ia tidak seharusnya dipandang ringan.

“Perbuatan itu wajar dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang untuk memastikan martabat institusi raja terus dihormati oleh semua pihak,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di sini hari ini.

Dalam masa yang sama baginda juga turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang bersikap seolah-olah mencabar kesucian agama Islam di negara ini.

“Saya berharap perbezaan fahaman politik tidak menjadi percaturan dalam memelihara kesucian agama Islam. Hal ini penting bagi memastikan agama suci ini tidak dipermainkan sehingga sensitiviti Islam itu sendiri tidak dipedulikan oleh sesetengah pihak sehingga mencetuskan perbalahan di kalangan ummah,” titah baginda.

Selain itu baginda turut menyuarakan kerisauan terhadap pelbagai anasir negatif yang menular dalam kalangan rakyat yang beragama Islam seperti pemahanan Islam liberal dan penerimaan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Perkembangan ini amat membimbangkan saya kerana begitu pantas diterima oleh segelintir masyarakat pada masa kini dan sebagai ketua agama negeri, saya menyeru semua pihak termasuk ibu bapa untuk membenteras perkara ini daripada terus berleluasa dan meracuni minda umat Islam,” titah baginda.

Sementara itu dalam soal sumber pendapatan negeri, Tengku Hassanal berharap pihak yang bertanggungjawab dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber mineral dan sumber asli sahaja.

Pada tahun lepas sahaja, kutipan royalti ke atas hasil mineral yang dikutip oleh negeri Pahang adalah berjumlah RM22 juta dan peningkatan hasil itu adalah didorong oleh kenaikan semua harga bagi kebanyakan komoditi mineral di pasaran.

“Dalam mengejar peningkatan hasil, kawasan hutan di negeri ini tidak seharusnya dijadikan sebagai kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata, sebaliknya ia mampu menjadi sumber pendapatan melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistik.

“Ini mampu memperkasakan lagi sektor pelancongan dan turut berupaya mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri menerusi kaedah pengenaan beberapa jenis bayaran termasuk bayaran memasuki hutan simpan dan hutan lipur di negeri ini,” titahnya.

Untuk merealisasikan perkara itu baginda menitahkan semua pihak agar dapat menjalankan kajian impak terhadap pengurusan alam sekitar secara telus bagi sesuatu kawasan yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan.

Dalam masa yang sama, baginda turut menyokong penuh usaha penguatkuasaan oleh kerajaan negeri dalam menangani masalah pencerobohan tanah kerajaan seperti yang dilakukan sebelum ini dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh termasuk mengambil kira kes-kes yang dilaporkan oleh media.

Tengku Hassanal turut melahirkan rasa bangga dengan tindakan kerajaan negeri yang mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam pengurusan kutipan hasil tanah, hasil hutan dan hasil air sehingga berjaya mengutip sebanyak RM120 juta untuk suku pertama tahun ini berbanding hanya RM101 sahaja untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam memacu negeri Pahang ke arah ekonomi digital, titah baginda pembangunan pesat perlu digerakkan dalam mewujudkan jaringan maklumat yang pantas dan canggih menerusi prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang moden dan terkini supaya selari dengan revolusi perindustrian 4.0.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas penubuhan ‘Pahang Go’ yang akan menjadi ‘one stop centre’ kepada aplikasi perkhidmatan digital dan ‘online’ (dalam talian) seperti sistem parkir secara ‘online’, aplikasi e-pembayaran melibatkan hasil pungutan kerajaan, kompaun dan kutipan caj-caj utiliti serta sistem aduan secara dalam talian.

“Saya turut gembira dengan berita penubuhan Pahang Corporation yang bakal beroperasi pada Mei depan yang akan menjadi agensi penyelaras bagi memperkemaskan operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melibatkan aktiviti perkhidmatan perkongsian seperti khidmat audit, kesetiausahaan, insurans dan latihan selain menjadi agensi pengurusan aset kerajaan,” titah baginda.

Tengku Hassanal selain itu turut berharap agar sektor pertanian dan penternakan dapat terus diperkasakan untuk menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri pengeluar makanan utama negara.

Baginda juga berharap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri agar dapat membantu meringankan beban pekebun kecil di negeri ini berikutan kejatuhan harga komoditi sawit di pasaran antarabangsa sejak akhir-akhir ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.