PRK DUN Rantau: BN Menang, PH Tumbukan Melayang

REMBAU, 13 April – Barisan Nasional (BN) berjaya mencipta ‘hatrik’ apabila menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi menewaskan calon dari Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas.

Majoriti yang diperoleh Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN adalah sebanyak 4,510

PH yang diwakili calon dari parti PKR, Dr S Streram memperoleh 5,887 undi manakala calon Bebas R. Malar Vizhi 83 undi dan Mohd Nor Yasin 79 undi.

Keputusan PRK DUN Rantau diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Nizam Tajul Arus pada pukul 8.40 malam di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini.

Sebanyak 79.32 peratus pengundi di Rantau hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Kemenangan kali ketiga berturut-turut ini juga jelas sebagai referendum rakyat terhadap kerajaan PH yang bukan sahaja tidak mahu menunaikan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bahkan tindakan mereka yang tidak mempunyai dasar yang jelas dalam mengurus tadbir negara sehingga tahap ekonomi negara semakin merudum dan suram.

Ketika pengumuman dibuat, Mohamad yang lebih dikenali ‘Tok Mat’ turut berada di dalam dewan sambil diiringi pemimpin-pemimpin BN dan rakan-rakan parti serta PAS.

Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan penyokong BN dan PAS yang berada di dalam dan luar dewan.

Terdapat 14 pusat mengundi dan 53 saluran bagi memberi kemudahan kepada 20, 793 pengundi biasa menunaikan tanggungjawab yang dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pada 9 April lalu, sebanyak 96 peratus daripada 110 orang pengundi awal telah keluar menunaikan mengundi.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan SPR dan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU-14, terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu.

Sementara itu, dilaporkan pergaduhan tercetus di bilik gerakan utama PH selepas media melaporkan keputusan PRK Rantau diketahui memihak kepada calon BN.

Situasi tegang berlaku apabila ahli PKR dari Kuala Lumpur menyalahkan ahli parti dari kalangan penduduk tempatan susulan keputusan yang tidak memihak kepada calon mereka, Dr S Streram.

Susulan itu, berlaku jerit-menjerit menggunakan kata-kata kesat.

Dalam beberapa minit, situasi kemudian bertukar menjadi pergelutan. Polis ketika ini berada di tempat kejadian.– MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.