PRK Rantau: Kemenangan Tok Mat Bakal Jadi Lambang Kemajmukan Malaysia

RANTAU, 11 April – Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datin Mastura Mohd Yazid berkata, jika calon Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) maka Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) menjadi lambang kemajmukan Malaysia kerana peratus pengundi Melayu di sini hanyalah 53 peratus.

Jelas beliau, ini bebeza dengan beberapa PRK sebelum ini contohnya di Semenyih yang mempunyai pengundi Melayu yang tinggi.

“Aura Tok Mat di sini melimpah ke semua tempat… Tok Mat juga diterima oleh semua bangsa dan kerana itulah kemenangan beliau nanti adalah lambang kemajmukan Malaysia. Sebab itu kita dapat lihat, ketika Tok Mat difitnah, rakyat di sini membela beliau… tidak perlu kita nak terangkan tetapi mereka sendiri sudah menjawab.

“Kita juga dapat melihat, sejak Tok Mat menjalankan tugas-tugas Presiden parti, seperti ada gerakan di kalangan orang Melayu yang tidak berpolitik (mula mengambil tahu soal politik), mereka merasakan ada arah terutama dalam isu penyatuan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Bual Bicara ‘Apo Nak Dikato’ dengan mengupas ‘Tolak Calon PH… Tolak Pembohongan, Tolak Diskriminasi’ yang disiarkan melalui Facebook UMNO-Online, malam tadi. Turut bersama beliau ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kuala Pilah, Mohd Fasha Mustapha dan dihoskan oleh Adnan Seman.

Tambah Mastura, keperibadian Tok Mat yang tidak banyak mengkritik pihak lawan juga dihormati kerana ungkapan yang sering diluahkan pasti bersulam dengan idea yang membina.

“Saya duduk di Parlimen… saya tahu, Tok Mat bukan sahaja dihormati oleh orang kita tetapi juga pihak lawan. Sebab itu, jika dikaji dalam media sosial, rata-rata menunggu supaya pengundi di Rantau membuat keputusan yang bijak dengan memilih Tok Mat agar beliau boleh ke peringkat seterusnya dalam memperjuangkan kestabilan negara ini,” jelasnya.

Ketika ditanya, mengapa dulu ramai yang mengkritik BN dan ianya diterjemahkan dalam PRU-14 tetapi selepas PH mengambil alih pucuk pimpinan negara, rakyat mula berubah dan mula mahukan BN kembali, jelas Mastura, ini kerana rakyat mula dapat melihat realiti sebenar kepimpinan PH.

“Kita kena faham bagaimana PH itu bercantum sedemikian rupa… mereka bercantum antara satu sama lain hanya kerana kuasa dan kerana nak pastikan BN tidak tumbang… sebab itu bila menang, ambil menteri pun apa yang ada depan mata sahaja.

“Walaupun tidak layak asalkan pecahan parti itu dapat ditepati, itu sudah memadai. Ketika dirangkumkan mereka semua ini maka berlakulah sistem caca marba yang cukup menyedihkan yang disaksikan oleh rakyat setiap hari baik di Parlimen, DUN dan di kawasan yang diwakili. Mereka tidak bersedia.

“Bagi saya, PH terlalu kerap menekan butang yang salah menyebabkan rakyat menjadi marah,” jelas beliau lagi.

Bagi Mohd Fasha pula, ‘track record’ Tok Mat sepanjang hampir 14 tahun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan telah menyebabkan beliau berada dalam hati rakyat negeri ini.

“Sebab itu masa kami turun berkempen… ini Tok Mat bantu itu Tok Mat bantu… kebaikan Tok Mat diceritakan sendiri oleh para pengundi… kita sendiri pula yang dikempenkan oleh mereka.

“Jadi, adalah satu kerugian besar sekiranya Tok Mat tidak dikembalikan sebagai Ketua Pembangkang di dalam DUN. Beliau selayaknya menjadi sebagai semak dan imbang dalam sidang DUN. Atas pengalaman sebagai Menteri Besar, beliau tahu banyak perkara, tidak boleh kelentong,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.