Pinda Perlembagaan Perlu Menyeluruh, Bukan Tergesa-gesa Atau Janji Buat – Bung Mokhtar

KUALA LUMPUR, 11 April – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu serius tanpa ada sebarang agenda yang tersembunyi atau tergesa-gesa dalam melaksanakan pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, tidak ada guna untuk meluluskan pindaan itu tetapi akhirnya pengisiannya masih sama tanpa memberi sebarang kesan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak sedangkan permintaan hanyalah mahukan ia dibincangkan dalam Select Committee.

“Kita minta ia dibincang dalam Select Committee… kita telah beri jaminan apa juga keputusan dalam Select Committee kita akan hormati tapi saya hairan kenapa kerajaan begitu berat untuk wujudkan Select Committee bagi membincangkan perkara ini sedangkan kalau betul-betul serius, tidak ada agenda maka biarlah ia diwudkan agar anggotanya boleh berbincang dan merungkai segala keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Diskusi dari Parlimen yang mengupas Penjelasan mengenai MA63 dan dihoskan oleh Saudara Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid. Diskusi ini disiarkan melalui laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Dilaporkan, sidang Parlimen menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew telah membentangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak di dalam Negeri-Negeri Persekutuan namun ianya dibantah oleh blok pembangkang kerana ia disifatkan terburu-buru dan diminta untuk dibincangkan dalam select committee bagi memenuhi aspirasi Sabah dan Sarawak.

RUU itu tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga apabila hanya 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu manakala 59 orang berkecuali.

“Biarlah niat yang baik ini dibuat secara bijaksana tapi seolah-olah ada udang disebalik batu, kenapa tidak diwujudkan select committee… kena nak segerakan pindaan… apa alasannya… ini tak dapat dirungkai maka sebab itu kita berkecuali. Tidak ada guna kita meluluskan pindaan itu tetapi akhirnya pengisian itu tetap juga Sabah dan Sarawak masih sama.

“Ini dianggap buang masa, kita tak menolak pun sebab kita mahu melihat perubahan secara menyeluruh. Kita tak mahu mereka buat ‘ah… sudah masuk dalam Perlembagaan… sudah buatlah seperti dalam manifesto’ sedangkan intipatinya tidak ada. Itu kita tidak mahu.”

Tegasnya, apa yang dibentangkan itu bukan yang dikehendaki oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini sebenarnya adalah tuntutan dari Sabah dan Sarawak… setelah beberapa tahun pemimpin parti, NGO dan rakyat telah menyatakan kebimbangan, menyuarakan kerisauan terhadap status Sabah dan Sarawak kerana pada suatu ketika dulu melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani United Kingdom iaitu Sabah dan Sarawak adalah salah satu Wilayah yang mewujudkan negara Malaysia.

“Maknanya, jika Sabah tidak ada… Malaysia tidak ada, Sarawak tidak ada maka Malaysia tidak ada… kewujudan MA63 ini untuk melihat kesamarataan atau status Sabah dan Sarawak sama rata dengan negeri-negeri di Semananjung yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Walau bagaimanapun, pembentangan pertama tidak mencakupi aspirasi yang dminta oleh rakyat Sabah dan Sarawak, jadi kemudian timbul pula dalam bacaan kedua,” maklumnya.

Sebab itu katanya, dalam perbahasan di Parlimen berkaitan pindaan tersebut tidak ada satu pun wakil-wakil rakyat daripada pembangkang termasuk beliau yang menyatakan tidak bersetuju.

“Kita bersetuju bahkan kita mengalu-alukan langkah yang dibawa oleh kerajaan PH untuk merealisasikan apa yang diinspirasikan rakyat Sabah dan Sarawak untuk mensetarafkan dengan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu tetapi kita lihat klausa itu tidak dapat memberi jaminan sepenuhnya.

“Kita lihat alangkah baiknya perancangan yang baik itu disusun dengan rapi dan kemudian dimasukkan dalam Perlembagaan. Itu yang kita minta.

“Sebahagian dari rakan-rakan Sarawak termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Sabah, kita tak mahu pindaan yang dibawa itu bukan hanya berlandaskan pindaan semata-mata… kerana pindaan ini tidak bermakna jika intipati dan pengisiannya tidak dapat diletakkan isnpirasi rakyat sebagaimana yang telah dijanjikan dalam MA63.”

Jelas beliau, cadangan kepada kerajaan untuk membawa pindaan tersebut dibincangkan dalam Select Committee tidak dipersetujui.

“Kita cadangkan ia dibincangkan dalam Select Committee, melalui Select committee ini sebagaimana yang termasuk dalam janji manifesto PH iaitu nak memperkasakan Parlimen, maka di sinilah bermulanya.

“Wakil dari pembangkang, dari negeri-negeri boleh menyertai Select Committee ini untuk berbincang apa sebenarnya keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak berdasarkan kepada intipati MA63… tetapi kerajaan seolah-olah tidak mempertimbangkan permintaan ini, seolah-olah tergesa-gesa jadi kita tidak mahu pindaan ini sama dengan apa yang ada… selepas tandatangan tidak ada yang berlaku.

“Inilah yang dielakkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak, untuk adil dan saksama, dan untuk generasi akan datang agar anak cucu Sabah Sarawak lebih terjamin pada masa akan datang.”

Menjawab persoalan adakah kerajaan dahulu tidak melakukan apa-apa tndakan, jawabnya, “kerajaan terdahulu sudah pun menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Mengenai Hak Perlembagaan Sabah dan Sarawak ke arah memulihkan hak-hak Sabah dan Sarawak,” katanya

Jelasnya, penubuhan jawatankuasa peringkat Persekutuan telah dipengerusikan bersama oleh mantan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, lebih dua tahun lalu.

“Walaupun tanggapan kerajaan hari ini bahawa jawatankuasa dulu tak ada kuasa tapi ia diiktiraf oleh kabinet, dianggotai oleh pihak-pihak tertentu yang telah menstruktur 13 perkara untuk dikemukakan kepada kabinet tetapi ianya tidak dapat dilaksana setelah BN kalah.

“Kita juga masukkan dalam manifesto BN untuk meratifikasikan MA63 tetapi kita telah kalah dalam pilihan raya maka sudah menjadi tugas dan tanggungjawab, yang mana mereka juga dah janjikan dalam manifesto mereka (PH) untuk melaksanakannya.

“Namun, kita sebagai Ahli Parlimen pun tidak dibawa berbincang… kemudian kita dibentangkan dengan perubahan Perlembagaan yang tergesa-gesa. Kita cuma minta satu perkara untuk masukkan perjanjian MA63 itu dalam Perlembagaan supaya rakyat Sabah dan Sarawak berpuas hati,” katanya lagi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.