Kegagalan PH Pinda Perlembagaan Bukti Rakyat Menolak, Menteri Perlu Letak Jawatan

KOTA KINABALU, 11 April – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi melihat kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperolehi majoriti dua pertiga undi bagi pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan adalah isyarat jelas suara rakyat menolak di Dewan Rakyat.

Tegasnya, penolakan suara rakyat menerusi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) membuktikan tindakan kerajaan PH gagal melaksanakan sesuatu tanpa kajian, rundingan dan pendekatan inklusif.

Dalam hal ini, katanya, menteri yang membawa pindaan Perlembagaan Persekutuan ini perlu meletakkan jawatan secara bermaruah kerana jelas sekali tindakan beliau tidak memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak sehingga telah mencemarkan reputasi kerajaan di Dewan Rakyat.

“Saya percaya penolakan rang undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 ini disambut baik sebahagian besar rakyat Sabah.

“Dalam erti kata lain, penolakan rang undang-undang ini tidak bermakna UMNO dan BN menolak sepenuhnya, tetapi kita menolak kerana kerajaan PH tidak ikhlas menyediakan pindaan itu yang dilihat seolah-olah dalam keadaan terburu-buru.

“Kuasa semak dan imbang membuktikan suatu kawalan terhadap seseorang yang mempunyai kuasa yang sah supaya tidak salah dalam menggunakan kuasanya iaitu ia tidak menyimpang atau bertentangan dengan maksud asal mengapa kuasa itu diberikan kepadanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tenom dalam kenyataan media hari ini.

Buktinya katanya, di Dewan Rakyat, UMNO Sabah menggesa Kerajaan PH menepati prosedur tatacara untuk melaksanakan perundingan yang berhemah dan bijak supaya rakyat Sabah dan Sarawak mendapat kedudukan yang sepatutnya selari dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Kerajaan terdahulu sudah pun menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Mengenai Hak Perlembagaan Sabah dan Sarawak ke arah memulihkan hak-hak Sabah dan Sarawak.

“Penubuhan jawatankuasa peringkat persekutuan telah dipengerusikan bersama oleh mantan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, lebih dua tahun lalu.”

Justeru katanya, kerajaan PH perlu juga menubuhkan Jawatankuasa Terpilih (Special Select Committee Parliament); membahaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak serta memasukkan dengan jelas perkataan ‘Berdasarkan Semangat Perjanjian Malaysia 1963’ untuk pindaan baharu dalam rang undang-undang yang disyorkan kelak.

“UMNO Sabah tidak mahu perkara yang besar ini dilaksanakan secara terburu-buru kerana kita tidak mahu melakukan kesilapan kali kedua.

“Yang kita mahu adalah kemenangan rakyat Sabah dan Sarawak selari dengan semangat yang disepakati pada awal Perjanjian Malaysia 1963.”

Terdahulu, sidang Parlimen menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew telah membentangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak di dalam Negeri-Negeri Persekutuan namun ianya dibantah oleh blok pembangkang kerana ia disifatkan sebagai sesuatu yang tidak memenuhi aspirasi Sabah dan Sarawak.

RUU itu tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga apabila hanya 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu manakala 59 orang berkecuali – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.