Gagal Pinda Perlembagaan Bukti Kerajaan PH Sangat Rapuh

KUALA LUMPUR 11 April – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak membuktikan kerajaan berada pada keadaan yang sangat rapuh.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad malah beranggapan kegagalan PH memperoleh dua pertiga undi bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berlaku jelas telah mencalar maruah kerajaan.

Jelas Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, keputusan itu juga boleh ditafsirkan sebagai undi tidak percaya rakyat kepada kerajaan PH.

“Rakyat boleh melihat bagaimana Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak dibuat oleh PH secara melulu, terburu-buru dan tidak dibincang secara meluas.

“RUU ini yang bertujuan memelihara kepentingan Sabah dan Sarawak juga tidak dimasuk dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat seperti dicadangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau dibahaskan di peringkat Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Usaha PH bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung gagal apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu tidak berjaya mendapat dua pertiga majoriti.

Dalam undian belah bahagi dalam Sidang Dewan Rakyat semalam, hanya 138 Ahli Parlimen mengundi untuk meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan sedangkan sebarang pindaan memerlukan undian dua pertiga atau 148 undian daripada 221 Ahli Parlimen berikutan kekosongan kerusi Parlimen Sandakan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.