Transformasi Parlimen PH Tak Sampai, Tak Ada Apa Yang Baru Selain Salahkan BN


KUALA LUMPUR, 10 April – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif menganggap transformasi Parlimen yang sering diuar-uarkan oleh Pakatan Harapan (PH) dahulu tidak menjadi kenyataan apabila mereka sudah mendapat kuasa.

Katanya, apa yang berlaku dalam persidangan di Dewan Rakyat ketika ini seolah-olah menyekat apa-apa sahaja yang nak disampaikan AHLI Parlimen memandangkan masa yang begitu singkat.

“Akhir-akhir Ini Dewan rakyat dilihat begitu tidak teratur malah masa-masa berhujah pun dikawal begitu rapi sehinggakan masalah yang perlu diketengahkan, soal rakyat atau isu-isu semasa tidak sampai.

“Ini menunjukkan bagaimana transformasi Parlimen yang diuar-uarkan oleh PH dulu tidak sampai kerana akhirnya ia seolah-olah menyekat apa sahaja yang kita nak maklumkan… ini kerana saya rasa mereka takut kita bercakap lebih dan akan memburukkan kerajaan PH apatah lagi banyak manifesto yang mereka janjikan tidak tercapai,” katanya.

Tegas beliau, sepanjang pentadbiran PH sebagai kerajaanbelum ada apa-apa lagi pencapaian yang boleh dibanggakan malahan tempoh 100 hari yang dijanjikan pun mereka gagal laksanakan.

“Mereka kata mereka dah capai tapi sebenarnya tidak ada apa-apa… dan Parlimen ini sekarang hanya menjadi tempat menghukum ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta kerajaan terdahulu lebih awal, belum dibicarakan di mahkamah tapi dah jatuh hukum pun.

“Parlimen dah jadi tempat untuk memburukkan kerajaan dahulu dan bagi ahli-ahli Parlimen pembangkang memang kita memerlukan kekuatan bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan sebagaimana yang diwakili dari rakyat kerana ruang dan masa yang cukup terhad.

“Memang kita dapat lihat kata-kata pemimpin PH ini ada antaranya tidak sepatutnya dikeluarkan di Parlimen, ada benda yang berulang-ulang kali di sebut seolah-olah nak mendoktrin rakyat bahawa itu adalah salah sedangkan perkara terbabit tak perlu di sebut.”

Misalnya katanya, mereka boleh sebut soal pembangunan, kelemahan dan sebagainya tapi jangan imbau perkara yang sudah-sudah berkaitan kerajaan lampau.

“Mereka sengaja mahu memburuk-burukkan kerajaan lama sedangkan ia sudah berakhir tapi disebut-sebut kerana ingin menutup kelemahan kerajaan PH yang tak dapat capai apa yang diharapkan oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi dari Parlimen yang mengupas isu-isu dari Parlimen dan dihoskan oleh Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid. Diskusi ini disiarkan melalui laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Terangnya lagi, sepanjang persidangan di Parlimen, dapat dilihat dengan jelas bahawa para pemimpin PH gagal menjawab pelbagai persoalan dan tidak meberikan penjelasan yang betul.

“Soalan yang diajukan berbentuk mahukan jawapan yang fakta, angka, tapi tak menepati jawapan sebenar. Ini sebenarnya trend kepada mereka… walaupun menjawab tapi bukan jawapan kepada soalan yang diberikan sebaliknya berbelit-belit dan mengelirukan.”

Dalam masa yang sama, beliau turut menyebut berkaitan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Mana mungkin hari ini tak ada rakyat yang perlukan bantuan hinggakan keluar ayat pemalas dan sebagainya… sudah pastilah untuk kos sara hidup sekarang semakin tinggi, rakyat amat memerlukan bantuan kerana tak semua rakyat yang senang, ada yang susah malah ada yang marhain dan perlukan bantuan.

“Mereka sebut dulu zaman BN kenapa tak bantu dan sebagainya, tapi kita lakukan tanpa henti, di kawasan pedalaman ada jalan raya dan sebagainya, pembangunan tidak boleh berhenti, bantuan pun tak boleh dihentikan… siapapun memerintah pembangunan mesti diteruskan.

“Ini tidak… boleh pula katakan BN tak buat itu ini… satu keadaan yang paling mudah sedangkan mereka dah jadi kerajaan pun asyik menyalahkan BN. Mereka menjadi kerajaan ala pembangkang.”

Bidas beliau lagi, sehingga ke hari ini tidak ada sesuatu yang baru dari kerajaan PH untuk rakyat.

“Saya tidak dapat melihat perkara baru, tidak ada ‘blueprint’ baru selain dari meneruskan projek dulu atas nama lain, tukar kulit dan dijenamakan semula, misalnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikata dedak sekarang dah jadi Bantuan Sara Hidup (BASAH), dengan nilai yang semakin kurang dan permohonan
semakin rumit… minta itu ini termasuk sijil nikah sedangkan mereka nak jadi menteri sijil palsu pun tak apa.

“Ini tak kena pada sasaran… meminta hal-hal yang menyusahkan rakyat, sedangkan di Malaysia ini ada pengkalan data yang cukup lengkap melalui kad pengenalan sahaja,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.