Serangan Tiada Pembangunan ‘Backfire’, PH Alih Kepada Serangan Peribadi – Tok Mat

 

REMBAU, 10 April – Calon Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata serangan pihak lawan yang sebelum ini membangkitkan soal pembangunan di Negeri Sembilan dan juga Rantau pada minggu pertama kempen dilihat telah bertukar kepada serangan berbentuk peribadi.

Menurut beliau apa yang berlaku itu memperlihatkan tohmahan mengenai soal pembangunan sepanjang mentadbir Negeri Sembilan tidak berkesan malah apa yang dibangkitkan menerusi serangan peribadi pula merupakan salah satu ‘trademark’ mereka.

“Nampaknya mereka beralih daripada menyerang tidak ada apa-apa pembangunan di Negeri Sembilan dan Rantau kepada serangan peribadi. Saya yakin penduduk lebih memahami dan lebih tahu ini semua adalah taktik-taktik kotor yang dilakukan semasa dalam kempen untuk menjejaskan imej calon-calon.

“Jadi nampaknya itu tidak berkesan… orang Negeri Sembilan sendiri faham dan ‘backfire’ kepada mereka dan minggu kedua ini nampaknya mereka lebih kepada menyerang peribadi untuk membuat fitnah-fitnah serta untuk menjadikan saya sendiri terganggu konsentrasi, tetapi seperti yang mana saya sebut, apa yang mereka kata serangan peribadi itu adalah merupakan fitnah belaka dan tuduhan yang dibuat termasuk laporan polis yang dibuat semalam merupakan kes yang telah pun selesai yang mana pihak berkuasa telah pun menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya pada ketika itu,” katanya pada sidang media di Command Centre BN, di sini, hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat seterusnya berkata kempen beliau sama sekali tidak menjejaskan imej calon sebaliknya bercakap soal dasar kerajaan PH selepas mengambil alih kepimpinan negara.

“Saya tidak ada menjejaskan imej calon… cuma bercakap tentang dasar kerajaan PH… saya cuma bercakap berkisar kepada ketidakcekapan kerajaan PH yang telah pun mentadbir negara ini selama 11 bulan dan betapa rakyat merasa resah gelisah… tidak ada satu pun yang menggembirakan rakyat.

“Semalam pula cukai untuk levi perjalanan… tidak tahu berapa akan dikenakan. Akan dikenakan levi perjalanan kepada orang yang mahu keluar daripada negara ini… mesti membayar levi tetapi berapa jumlah dikenakan tidak diberitahu cuma mendapat kelulusan Parlimen bahawa mulai daripada kuatkuasa Rang Undang-Undang berkenaan maka semua orang akan terpaksa membayar levi untuk keluar negara.

“Ini juga salah satu kesan yang akan membebankan rakyat. Misal kata kalau diletakkan levi berkenaan RM500 susah juga. Anak-anak yang mahu belajar di luar negara terpaksa membayar levi setiap kali pergi dan balik. Nak jumpa ibu bapa lepas tu keluar balik kena bayar levi. Ini akan meningkatkan kos. Macam orang Johor berurusan di Singapura misalnya ada pejabat di Singapura, ada pejabat di Asia Tenggara di negeri-negeri jiran ini akan menambahkan kos operasi mereka.

“Jadi saya katakan bahawa ini adalah kerajaan yang sentiasa sahaja buat apa… semuanya menambah beban rakyat dan bukannya ada berita yang menggembirakan rakyat. Tidak ada perundingan-perundingan yang dibuat terlebih dahulu… mereka tidak menemui rakyat dan tidak membincangkan dahulu diperingkat bawahan apa sahaja yang mereka nak buat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.