Bukan Pindaan Perlembagaan Semata-mata, Kerajaan Harus Titik Beratkan Suara Rakyat


KUALA LUMPUR, 10 April – Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya mengisi tuntuan Sabah dan Sarawak terlebih dahulu berbanding aspek pindaan perundangan yang belum tentu mempamerkan pelaksanaan.

Jelasnya, hasrat kerajaan mahu meminda Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 Perkara 1 (2) yang membabitkan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 bukanlah sesuatu yang baru kerana ia adalah dirintis daripada kerajaan terdahulu.

“Umum memang mengetahui bahawa kerajaan terdahulu pemangkin bagi perkara ini dan kerajaan PH hanya menyambungnya cuma persoalaannya apakah yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan sekarang ini memenuhi apa yang telah dipersetujui sebelum ini dan adakah ini dapat memberi kepuasan dan tuntutan sepenuhnya oleh Sabah dan Sarawak?

“Pinda memang kita boleh pinda cuma suara Sabah dan Sarawak harus didengari kerana ini melibatkan anak cucu mereka di sana. Hal-hal seperti ini memerlukan keazaman politik dan sebenarnya tidak semestinya menerusi pindaan Perlembagaan semata-mata,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Kata Dr. Mohammad Tawfik yang juga pensayarah di Universiti Malaya, jika mahu melakukan pindaan, maka perlu diangkat semula kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi membentuk Persekutuan dan bukannya mengasingkan seperti cadangan kerajaan iaitu A dan B kerana pengasingan ini tidak akan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak tetapi lebih dilihat kepada membezakan antara negeri-negeri dalam kategori A dan B.

Semalam, dalam sidang Parlimen di Dewan Rakyat, usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi. Ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) itu kekurangan 10 undi untuk memperoleh sokongan majoriti; 148 undi daripada 222 anggota Parlimen iaitu dua pertiga persetujuan anggota Dewan Rakyat.

Terdahulu, minggu lalu kerajaan dalam sidang Parlimen menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew telah membentangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak di dalam Negeri-Negeri Persekutuan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat namun ianya dibantah oleh blok pembangkang kerana ia disifatkan sebagai sesuatu yang tidak memenuhi aspirasi Sabah dan Sarawak. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.