Ahli Akademik Dikecam, Diugut: PH Mungkir Janji, Di Mana Kebebasan Akademik?


KUALA LUMPUR, 10 April – Pemuda UMNO mengecam Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mengumumkan kementeriannya akan membincangkan kedudukan empat ahli akademik yang terlibat dengan rumusan eksekutif isu Statut Rom kepada Majlis Raja-raja.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sikap ahli Parlimen Kulai itu menyerlahkan belang sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih memungkiri janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kenyataan Teo Nie Ching menyerlahkan lagi belang sebenar Kerajaan Pakatan Harapan yang telah memungkiri janji mereka dalam manifesto PRU-14 dahulu kononnya ‘akan memastikan kualiti pendidikan serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dan berpersatuan terjamin’.

“Kenyataan Teo Nie Ching ini juga menyerlahkan lagi perangai sebenar pemimpin Dap yang sebelum PRU-14 berdegar-degar menyelar kerajaan (Barisan Nasional) kerana kononnya menggunakan taktik menakut-nakutkan dan menindas ahli akademik tetapi bila berkuasa lupa kepada dakwaan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam isu yang sama tambah Dr Asyraf, Pemuda UMNO menzahirkan rasa simpati kepada empat ahli akademik tersebut yang berhadapan dengan kecaman dan ugutan sebilangan aktivis dan pemimpin kerajaan.

“Amat tidak beradab dan tidak berakhlak untuk sesiapa sahaja memperlekehkan empat ahli akademik ini dengan memanggil mereka sebagai ‘profesor kangkung’ atau mendesak kerajaan memecat mereka tanpa mempertimbangkan merit kepada kandungan kertas kerja yang mereka sediakan.

“Lebih tidak bertanggungjawab bila seorang pemimpin kerajaan seperti Teo Nie Ching, seolah-olah tunduk kepada desakan ini dengan mengumumkan semalam bahawa kementeriannya akan membincangkan kedudukan empat ahli akademik ini!” tegasnya.

Tambah Dr Asyraf, adalah tidak adil sekiranya keempat-empat ahli akademik tersebut dikecam dan diugut tetapi dalam masa yang ahli akademik lain yang turut membuat pembentangan tidak dipersoalkan.

“Selaras dengan kepakaran mereka, dan selaras dengan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta menepati ajaran agama dan nilai sejagat, empat ahli akademik ini tidak sepatutnya dihadapkan dengan kecaman dan ugutan atas pandangan yang mereka suarakan.

“Mempersoalkan mereka juga samalah ertinya dengan mempersoalkan kuasa dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menitahkan mereka membuat pembentangan, apa lagi bila ahli akademik lain yang membuat pembentangan serupa tidak dipersoalkan,” bidasnya.

Justeru katanya, Pemuda UMNO dengan tegas tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan massa bagi mempertahankan empat ahli akademik tersebut jika ada apa-apa tindakan dikenakan kepada mereka.

Asyraf turut melampirkan kepakaran empat ahli akademik tersebut yang mempunyai kredibiliti dalam bidang masing-masing.

(1) Prof Datuk Dr. Rahmat Mohamad adalah pakar dalam bidang undang-undang antarabangsa di UITM. Beliau memperolehi ijazah PhD dari University of Wales, Aberystwyth, pada tahun 2000 dengan tesis bertajuk ‘Dispute settlement mechanism in the ASEAN Free Trade Area (AFTA)’.

Beliau juga merupakan Setiausaha Agung the Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO) dari tahun 2008 ke tahun 2016. Beliau juga telah pernah dicalonkan sebagai wakil Malaysia bagi jawatan International Law Commission pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2016.

(2) Prof Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz adalah pakar dalam bidang undang-undang perlembagaan di UIA. Beliau memperolehi ijazah PhD dari UIA pada tahun 2007 dengan tesis bertajuk ‘Legal measures regulating offences against Islam in Malaysia’.

Pandangan beliau sentiasa dirujuk oleh pelbagai pihak, termasuk oleh kerajaan.

(3) Dr Fareed Hassan adalah pakar dalam bidang undang-undang antarabangsa di USIM. Beliau memperolehi ijazah PhD dari University of Aberdeen pada tahun 2018 dengan tesis bertajuk ‘National prosecution against heads of state of non-state parties to the Rome Statute in Southeast Asia: Challenges and prospects under the complementarity principle’.

(4) Hisham Hanapi adalah pensyarah dalam bidang undang-undang di KUTAR. Beliau memperolehi ijazah LLM dari UKM pada tahun 2012.

Beliau dan Dr Fareed Hassan baru sahaja menerbitkan sebuah buku berkaitan undang-undang antarabangsa bertajuk ‘Statehood: A Legal Overview’. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.