Wanita UMNO Dan Muslimat PAS Sepakat ‘Move Forward’, Tolak Kenyataan Negatif Tentang Penyatuan Ummah


RANTAU, 9 April – Wanita UMNO dan Muslimat PAS sepakat mantapkan gerak kerja bersama dalam usaha memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang pengundiannya bakal berlangsung Sabtu ini.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Latteffah Ali menganggap PRK DUN Rantau adalah satu anugerah walaupun jika difikirkan secara logik ia tidak patut berlaku.

“PRK ini memperlihatkan kerjasama yang erat antara UMNO dan PAS, kerjasama ini adalah satu anugerah… satu kemanisan apabila bersama-sama menjalankan satu tanggungjawab. Saya percaya ia akan membawa kebaikan.

“Sepatutnya PRK ini tak patut berlaku tapi apabila tamakkan kuasa sebagaimana Pakatan Harapan (PH)… dah dapat kuasa yang banyak mahu lagi… nak tambah lagi kuasanya.

“Lihat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas, Tok Mat adalah calon, penuhi kriteria dan sampai masuk ke dalam Dewan mengikut semua peraturan… sedangkan yang tak sampai dalam Dewan adalah caloh PH. Tok Mat dah duduk menunggu tapi kesilapan dari calon sana, Dr. S. Streram yang tak bawa pas… calon PH sendiri yang bersalah tapi Tok Mat jadi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin Tok Mat akan tetap jadi pilihan pengundi dalam PRK tersebut.

“Yakinlah kepada Tok Mat, pengundi Rantau dah lihat segala jasa bakti Tok Mat kepada Negeri Sembilan dan Rantau sendiri. Kita nampak balai polis, balai bomba, sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, hospital, masjid semua ada… yakinlah kepada calon kita.

“Berilah undi kepada anak Rantau untuk Rantau sendiri. Beliau adalah pemimpin berjiwa besar tanpa mengira kaum. Pengundi Cina tahu apa yang dah Tok Mat lakukan pada bangsa mereka, pengundi India pun tahu apa jasa Tok Mat kepada mereka apatah lagi pengundi Melayu.”

Berkaitan penyatuan ummah UMNO-PAS, beliau menegaskan bahawa wanita UMNO menolak anasir-anasir luar yang mahu menakutkan mereka.

“Kita ada cara tersendiri… antara Wanita UMNO dan muslimat PAS… kerjasama kami ini erat, menampakkan satu keputusan yang positif… belum ada dengar lagi kata-kata negatif dari mana-mana pihak.

“Walaupun sebelum ini ada cara berbeza tapi tak ada sifat benci-membenci kerana kita ke arah satu matlamat untuk meletakkan agama Islam ke tahap tertinggi tanpa menidakkan hak-hak agama lain. Dah terbukti sebagaimana 60 tahun BN mentadbir, agama-agama lain masih boleh diraikan… sebab itu kita tolak anasir-anasir luar yang menakutkan rakyat kononnya ala taliban dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘Apo Nak Dikato’ mengupas isu ‘Kerjasama Wanita dan Muslimat…Kuasa Pengundi Wanita Di Rantau’ yang disiarkan menerusi laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Turut bersama dalam program ini ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, Fazillah Abu Samah dengan hosnya ialah Saudari Wan Salwati Abdullah.

Bagi Fazillah pula, biar apapun orang luar nak buat tuduhan berkaitan penyatuan ummah, ia tidak akan diambil peduli.

“Ada yang gelar penyatuan ummah satu signal kepada isytihar perang, akan perintah ala taliban… kita sangat tak bersetuju dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan golongan tersepit itu, mereka tak tentu arah kerana mereka tahu penyatuan UMNO-PAS akan menjatuhkan kepimpinan mereka.

“Kita tak nak ambil kira kata-kata mereka, kita ‘move forward’, kita tiada masalah, jalan bersama-sama, tak peduli orang luar panggil kita apa pun.

“PAS melalui satu proses pentarbiahan, kita tidak menolak mana-mana pihak apatah lagi UMNO yang seagama dan sebangsa. Kita tak benci cuma dulu kita ada perbezaan idealogi politik, namun kita dapat bersama-sama hari ini. PAS dapat bersama-sama bukan hanya Wanita UMNO tapi dalam BN bersama-sama wanita MCA dan wanita MIC. Penyatuan ini adalah satu keredhaan daripa Allah pada kita.”

Bercakap soal Tok Mat sebagai calon BN di Rantau, beliau melihat Tok Mat itu sendiri adalah figura yang dikagumi rakyat.

“Tok Mat adalah satu figura, dianggap sebagai seorang panglima… ada hasrat dengan kita yang mana kita buang yang keruh… pada kami Tok Mat amat kita kagumi… cara beliau menjaga hubungan antara pemimpin, dengan rakyat.

“Hasrat kepada pengundi, mereka tahu tanggungjawab mereka dan kepada pengundi-pengundi PAS, kenapa perlu mengundi BN kali ini… kerana kita perlu terima hakikat dalam keadaan agama dihina sedemikian rupa hari ini, suasana politik dalam negara kita haru-biru dan kacau-bilau serta menindas orang-orang Melayu, mengambil hak orang Melayu maka sudah sampai masanya kita orang yang berbangsa Melayu dan Islam memikirkan satu jalan demi memartabatkan agama dan bangsa kita.

“Kita dah lihat hak-hak Melayu telah dirampas PH… dan kita dah tahu Tok Mat juga berhasrat memartabatkan Islam, jadi apa yang kita lakukan ini… fahamlah sebagaimana telah pimpinan pusat arahkan kepada kita untuk pastikan Tok Mat menang… pesan Tuan Guru kita wajib menangkan Tok Mat,” katanya lagi.

PRK itu yang akan diadakan pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan, calon PH Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.