Tubuh Segera RCI Untuk Tabung Haji, PH Dinasihat Bina Kembali Hubungan Baik Dengan Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 9 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menasihati Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa untuk membina kembali huhungan baik antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi demi rakyat bagi mendapat keistimewaan kuota tambahan haji.

Katanya, sepanjang kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu memerintah, Malaysia sentiasa mendapat keistimewaan kuota tambahan oleh Arab Saudi sehinggakan pada 2017 pernah mencecah lebih 15,000 kuota tambahan melebihi kuota rasmi 30,200, namun semenjak peralihan kepada kerajaan PH pada Mei 2018, sudah dua kali musim Haji, rakyat tidak menikmati kuota tambahan tersebut.

“Kekandaku YB Dr Mujahid Yusof Rawa, adinda nak tahu apa kaitan kejayaan menyelesaikan defisit RM4.1 bilion dengan giliran menunggu haji? Kuota rasmi Haji Malaysia 30,200 bukan boleh ditambah dengan pengurangan defisit RM4.1 bilion. Sebab itulah adinda pernah memaklumkan kepada Kekanda untuk jalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Arab Saudi.

“Ini tidak, pengisytiharan penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang baru hendak bermula pun dibuat hanya melalui media massa, sedangkan Raja Salman Arab Saudi sanggup datang ke Malaysia awal tahun 2017 untuk memeterai kerjasama penubuhan pusat keamanan tersebut untuk mempromosi Islam yang progresif dan sederhana model Malaysia.

“Sekurang-kurangnya hantarlah delegasi Kerajaan Malaysia yang diketuai Kekanda Menteri untuk mengadap sendiri memaklumkan kepada Baginda Raja Salman jika Perdana Menteri tak berkesempatan,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebooknya.

Terdahulu beliau turut mendesak agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala dakwaan dan salahlaku yang berlaku di dalam pengurusan Tabung Haji (TH) yang lalu.

“Berdasarkan rasional-rasional berikut, maka Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi mendesak agar RCI mengenai TH dapat segera ditubuhkan. Ini juga terkait dengan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan institusi Parlimen yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia Badan-badan Berkanun termasuk TH sebagaimana yang di peruntukkan di bawah Akta Parlimen.”

Desakan penubuhan RCI ini adalah berdasarkan rasional berikut:

1. Dakwaan pemberian Hibah oleh pengurusan terdahulu yang tidak mematuhi Akta Tabung Haji 1995 selama 4 tahun terdahulu adalah suatu yang amat serius dan boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan umat Islam terhadap institusi ini.

2. Dakwaan pemimpin-pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan yang menuduh wujudnya kerugian besar berjumlah RM10 billion yang disembunyikan juga amat serius kerana setiap tahun TH diaudit dan diabsahkan penyediaan laporan kewangannya oleh Jabatan Audit Negara sebelum dibentangkan di Parlimen. Justeru jika benar wujud penyelewengan dan manipulasi akaun, maka Jabatan Audit Negara perlu disiasat dan apa jua laporan yang disahkan perlu ditarik balik daripada Parlimen.

3. Pertikaian dalam kaedah penilaian aset antara Pengurusan Lama dan Baharu TH sehingga menatijahkan kesan besar terhadap keseimbangan aset dan liabiliti juga memerlukan penyiasatan tuntas sama ada benar berlaku salah laku sebagaimana yang didakwa. Perbezaaan ketara dalam kaedah menilai aset inilah yang membolehkan Hibah dibayar selama ini oleh Pengurusan Lama dan dianggap bertentangan dengan Akta Tabung Haji oleh Pengurusan Baharu

4. TH sebagai Badan Berkanun yang turut dikawalselia melalui Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 yang memberikan kuasa kepada Menteri untuk menentukan kaedah penyediaan akaun dan laporan kewangan termasuk metadologi penilaian aset perlu juga disiasat sama ada segala urusan penyediaan akaun dan laporan kewangannya benar-benar mematuhi Akta ini. Akta ini juga mewajibkan Badan-badan Berkanun termasuk TH untuk mengemukakan sebarang cadangan penyediaan akaun termasuk kaedah penilaian aset kepada Ketua Audit Negara. Justeru segala dakwaan mengenai kesalahan kaedah penilaian aset, sebagai contoh tidak mengambil kira sorot-nilai (impairment) juga boleh dikaitkan dengan kredibiliti Jabatan Audit Negara.

5. Terdapat juga dakwaan yang mengaitkan pelbagai kerugian pelaburan TH yang dikaitkan dengan penyelewengan dan pelbagai salah laku seperti TH Heavy Engineering, Putrajaya Perdana, FGV dan PT TH Indo Plantation di Riau memerlukan siasatan terperinci agar rakyat mendapat gambaran sebenar sama ada ia merupakan kesalahan jenayah atau kelemahan tadbir urus organisasi atau kerugian biasa pelaburan.

6. Penubuhan RCI ini juga amat penting untuk menjernihkan kekusutan masyarakat terhadap fenomena saling tuduh menuduh dan salah menyalah sehingga menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TH sekaligus mengelakkan institusi yang besar maknanya kepada umat Islam runtuh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.