‘Terima Kasih’ Masih Prihatin Pada UMNO… Kini Melayu Semakin Kuat Tanpa Tun – Khaled Nordin


KUALA LUMPUR, 9 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan ucapan ‘terima kasih’ kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terus mengambil tahu dan prihatin kepada UMNO.

Jelas beliau, mungkin kerana Melayu semakin kuat dan bersatu maka ia membuatkan Tun tidak mampu untuk tidur lena memikirkan masa depan parti yang dikatakan bakal berkubur ini.

“Setiap gerak geri UMNO tidak pernah terlepas dari pandangan Tun. Masa depan parti ini adalah perkara yang membuatkan Tun tidak tidur lena. Kami sedar, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tunggangan politik berdekad-dekad lamanya.

“Sebab itu ada sahaja perkara yang dilakukan UMNO akan terus menarik perhatian dan rasa ingin tahu Tun. Terbaharu, kerisauan beliau adalah UMNO akan semakin menjadi PAS susulan kerjasama kedua-dua parti tersebut.

“Pertama sekali, tidak kisahlah UMNO menjadi semakin PAS atau PAS menjadi semakin UMNO. Terpulang kepada cara masing-masing melihatnya. Semua itu hanya label politik, yang pasti… orang Melayu semakin kuat dan bersatu, orang Melayu sudah tidak berpecah dan berpatah arang antara satu sama lain seperti yang Tun Mahathir lihat dan benarkan berlaku selama ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Kedua tegas Khaled, adalah jauh lebih baik untuk orang Melayu bersatu-padu melalui kerjasama UMNO-PAS berbanding kerjasama Tun Mahathir dengan Dap.

“Tun kini tidak ubah seperti jurucakap Dap. Setiap perkara yang Dap lakukan yang dahulunya Tun gelar sebagai rasis, cauvinis dan tidak bertanggungjawab, kini menjadi amalan yang Tun terpaksa pertahankan sehabis-habisnya.

“Kami faham prinsip, pendirian dan ideologi semuanya sudah tidak penting pada Tun. Kuasa adalah matlamat akhir pada Tun. Tetapi, sejujurnya, sudah pasti ramai orang Melayu terguris melihat bagaimana bersungguh-sungguhnya Tun mempertahankan Dap, satu seteru politik Tun untuk berdekad lamanya. Seteru politik yang kehadirannya selama ini secara tidak langsung menjadikan Tun sebagai pembela orang Melayu.

“Kesedihan orang Melayu melihat Tun membela Dap sudah pasti lebih mendalam dan pilu berbanding kesedihan penyokong setia PKR yang sebelum ini menghina dan menentang Tun sebagai ketua negara, tetapi kini terpaksa meraikan sambutan 20 tahunnya dengan senyum kelat kerana mengangkat Tun sebagai ketua,” sindir beliau.

Akhirnya ujar Khaled, Tun sepatutnya sedar bahawa orang Melayu sudah sangat terpecah sebelum ini.

“Macam-macam jenis Melayu kita dengar pada zaman Tun. Melayu kopiah putih, Melayu songkok hitam, semua itu tidak sihat untuk negara. Pada kami, kita hanya ada satu Melayu. Melayu Malaysia, Melayu yang cintakan tanah air, Melayu yang meraikan bangsa lain sebagai saudara yang hadir dan bersama-sama berpayung pada tanah ini. Maka, janganlah Tun terus melabel Melayu dan memecah-belahkan bangsa kita,” tegas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.