PRK Rantau: Proses Pengundian Awal Bermula

SEREMBAN, 9 April – Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula 8 pagi ini selepas dua pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau, dibuka.

Ia membabitkan seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal dengan lapan daripadanya mengundi secara pos.

Proses pengundian di PU Sendayan, yang merupakan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan, membabitkan seramai 74 anggota tentera serta pasangan.

Di Balai Polis Rantau pula, ia membabitkan seramai 36 anggota polis yang akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Proses pengundian awal berlangsung selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).
PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.