Polemik Ratifikasi Statut Rom: Siasat Segera Menteri Dakwa Wujud Kudeta


REMBAU, 9 April – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menggesa pihak berkuasa menyiasat segera menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan kebarangkalian wujud rampasan kuasa di negara ini rentetan dari polemik ratifikasi Statut Rom.

Ini kerana katanya, ia merupakan satu tuduhan yang sangat serius apatah lagi ditimbulkan oleh anggota pentadbiran kerajaan.

“Saya merasakan tidak adil terutama sekali kepada Majlis Raja-raja kerana ada menteri-menteri yang telah cuba mempolitikkan perkara ini termasuklah dengan menyatakan penarikan balik itu (Statut Rom) kerana bimbang akan berlaku kudeta.

“Saya cadangkan menteri yang berkenaan mesti disiasat sebab itu merupakan satu dorongan dan ia juga merupakan tuduhan. Kalau mereka berpendapat ada berlaku kudeta oleh sesiapa sahaja, sebagai anggota kabinet yang mengendalikan kerajaan dia mesti bertanggungjawab.

“Menteri tidak boleh bercakap ikut suka hati sebab dia menteri… istilah akan ada kudeta dan ia disebut oleh anggota pentadbiran maka ia suatu yang sangat besar. Maknanya kerajaan punya maklumat ada pihak tertentu yang mahu merampas kuasa,” katanya dalam sidang media selepas program Ceramah Muafakat Rakyat dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Taman Kelab Tuanku, di sini, malam tadi.

Selain beliau, ceramah tersebut turut menampilkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS antaranya Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran.

Mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kudeta bermaksud rampasan (perampasan) kuasa untuk memerintah secara ganas atau tidak sah.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak dengan adil dalam siasatan bagi menangani perkara tersebut.

“Menteri berkenaan mesti disiasat oleh polis sebab kita tak nak berlaku kudeta dalam negara kita. Negara kita tak pernah ada kudeta. Negara kita jatuh bangun kerajaan semua melalui proses demokrasi.

“Oleh kerana dua orang menteri menyebut perkara yang sama, kita pandang itu sebagai satu yang serius dan saya harap PDRM tidak memihak dan tidak memandang kecil.

“Orang yang berkenaan mesti memberikan kenyataan dan memberikan bukti bahawasanya ada perancangan untuk melakukan kudeta oleh sesiapa sahaja,” tegasnya.

Semalam, media arus perdana melaporkan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata Malaysia tidak boleh menolak kemungkinan bahawa rampasan kuasa boleh berlaku di negara ini jika orang Melayu terpengaruh dan mempercayai kedudukan mereka dalam bahaya.

Hari sebelumnya pula Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu wawancara bersama sebuah portal berita online berkata, kerajaan PH yang dipilih rakyat hari ini perlu dipertahankan daripada gerakan ‘deep state’ yang mahu menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik seperti yang berlaku di Mesir.

Berhubung polemik usaha kerajaan yang mahu triti Statut Rom juga, Annuar turut mendesak kerajaan memberikan penjelasan yang tepat dan gambaran sebenar kerana ia melibatkan institusi Raja.

“Kerajaan hendaklah berterus terang untuk memberikan gambaran penuh apa yang telah dilakukan oleh Majlis Raja-raja. Adalah tidak adil kalau gambaran sebenar yang dilakukan oleh Raja-raja tidak diterangkan oleh kerajaan kerana Majlis Raja-raja tidak mahu bercakap secara politik.

“Yang di-Pertuan Agong tidak boleh buat kenyataan secara politik dan kebanyakan Raja-raja Melayu juga tidak boleh membuat sidang media dan sebagainya.

“Jadi tidak adil bagi Raja-raja Melayu sedangkan apa yang Raja-raja Melayu lakukan setakat apa yang saya tahu, tidak serupa dengan apa yang kerajaan gambarkan. Bermakna bukan Raja-raja Melayu yang menghasut rakyat, (tetapi) kerajaan PH cuba menghasut rakyat,” katanya lagi.

Berhubung dengan penglibatan empat orang ahli akademik dan pakar undang-undang dalam membentangkan rumusan eksekutif mengenai Statut Rom kepada Majlis Raja-raja, ianya adalah atas permintaan Raja-raja Melayu sendiri, tambahnya lagi.

“Raja-raja Melayu telah membuat konsultansi atas keinginan mereka sendiri tanpa melibatkan orang politik. Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat secara tertutup. Raja-raja Melayu menjemput Shad Faruqi, Tommy Thomas dan juga Saifuddin Abdullah, Menteri Luar untuk membentangkan hasil kajian dan selepas itu tiga orang daripada empat orang penyelidik yang juga terdiri daripada pakar-pakar undang-undang membentangkan hasil kajian.

“Penyelidik-penyelidik itu tidak membuat keputusan bagi pihak Raja-raja Melayu, itu saya yakin seratus satu peratus sebab apabila mereka ini keluar daripada mesyuarat, Raja-raja Melayu berbincang sesama mereka sahaja dan Raja-raja Melayu dari rasa kebertanggungjawaban mereka mengambil keputusan untuk menyampaikan keputusan mereka kepada perdana menteri dengan cara yang cukup beradab tidak pergi kepada masyarakat umum dan tidak memberitahu kepada orang politik,” jelasnya dengan panjang lebar.

Empat ahli akademik tersebut adalah Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz; dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi.

Annuar turut membidas kerajaan yang mahu mengambil tindakan tatatertib terhadap empat orang ahli akademik tersebut.

“Mereka hanyalah ahli akademik yang memberi pandangan. Jadi sekarang ini kerajaan melancarkan serangan terhadap empat orang ahli akademik ini, adalah tidak adil.

“Adakah kerajaan PH sekarang sudah nak mengongkong ahli akademik daripada memberi pandangan? Kalau mereka bertiga ini salah bagaimana dengan Shad Faruqi? Saya juga boleh kata Shad Faruqilah yang menghasut kerajaan untuk menandatangani. Saya juga boleh menuduh begitu sebab Shad Faruqi menulis dalam akhbar, saya baca tulisan dia. Jadi apa salahnya ahli akademik lain memberikan pandangan mereka?” soalnya lagi.

Annuar mampu menjelaskan sedikit sebanyak kronologi yang berlaku memandangkan secara kebetulan ketika mahu menjemput Raja ke majlis perkahwinan anaknya, beliau terjumpa dua daripada empat orang ahli akademik itu yang berasal dari Kelantan, juga dikenalinya dan mereka berkongsi gambaran yang berlaku.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Annuar juga menegur kerajaan PH yang sering melakukan kesilapan dalam urusan pentadbiran, terutamanya yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.

“Tapi masalahnya sekarang kerajaan ini, kabinet yang ada sekarang ini janganlah terus melakukan kesilapan, jangan membuat keadaan berlakunya rapat umum ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum). Jangan kira rakyat takut dengan ugutan sebab kalau menyentuh perkara fundamental tentang Perlembagaan, rakyat akan bangkit.

“Dan ini, tengok sekarang apa yang berlaku pindaan Perlembagaan yang nak dibawa lusa. Bila nak pinda perlembagaan proses kena ikut. Kalau nak buat pindaan Perlembagaan taklimat kena buat kepada ahli Parlimen, beri notis yang cukup.

“Betullah dalam Parlimen notis perlu dalam 24 jam tapi pagi nak mesyuarat baru nak letak. Notis yang diberi kepada Speaker memang cukup 24 jam tapi ahli-ahli Parlimen tengok pagi itu sahaja waktu nak bentang bacaan pertama. Apa salahnya ambil masa sikit kerana yang hendak dipinda ini adalah Perlembagaan,” tegasnya lagi.

Dalam meminda Perlembagaan negara ujarnya lagi, undi di pihak kerajaan tidak memadai dan memerlukan undi daripada pihak pembangkang.

“Undi kerajaan tak cukup… mereka perlukan undi kami (pembangkang). Kita boleh saja pinda Perlembagaan kalau betul membawa kebaikan kepada rakyat.

“Jadi saya tengok terlalu banyak, dalam soal ICERD, Rom Statut dan pindaan Perlembagaan sekarang menunjukkan kerajaan ini sangat-sangat cuai sama ada mereka cuai atau mereka ‘take rakyat for granted’.

“Saya harap kerajaan faham ini sudah zaman lain, rakyat berpengetahuan tidak bergantung kepada surat khabar dan stesen televisyen kerajaan. Rakyat boleh dapat dari sumber-sumber yang lain,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.