PH Perlu Lebih Telus Dan Ikhlas, Pindaan Perkara 1(2) Bukan Untuk Melepas Batuk Di Tangga


KUALA LUMPUR, 9 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya lebih telus dan ikhlas dalam soal yang begitu penting dan dekat di hati rakyat Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata demikian berhubung bantahan cadangan pindaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 Perkara 1(2) yang dilakukan di Parlimen Khamis lalu.

“Pindaan ini dibuat secara kelam kabut, tiada konsultasi hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ dan jika dikaji pindaan tersebut tidak ada yang signifikan serta tidak membawa impak apa-apa kepada status Negeri Sabah dan Sarawak.”

Dilaporkan, Rang undang-undang untuk meminda Perkara 1 (2) bagi mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas mendapat bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang, termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah di negeri ini malah ahli Parlimen berkenaan mahu rang undang-undang pindaan itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk kajian menyeluruh.

Rosnah berkata sepatutnya kerajaan PH harus mengadakan perbincangan, forum terbuka dan konsultasi dengan rakyat serta melibatkan wakil-wakil dari pihak parti pembangkang dan NGO.

“Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew yang membawa pindaan tersebut harus malu dan meminta maaf kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak kerana beliau telah gagal dalam peranannya selaku Menteri Undang-undang,” katanya ketika dihubungi UMNO Online di sini, hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya itu merasa kecewa kerana jika dahulu perkataan Sabah dan Sarawak berada dalam para yang sama dan sekarang diletakkan pada para yang berbeza.

“Menteri itu seharusnya memahami apa yang dihajatkan oleh rakyat kedua-dua negeri. MA63 merupakan sesuatu yang begitu dekat dihati rakyat Sabah dan Sarawak.

“Namun Rang Undang-undang (RUU) itu lebih pada kosmetik dan tidak ada kesan apa-apa, itu yang Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah tidak bersetuju.

“Ianya dilihat sebagai agenda utama memenuhi manifesto PH semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu kononnya untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak, sedangkan tidak ada apa-apa makna pun,” tegasnya.

Katanya lagi semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, rundingan demi rundingan sering diadakan pada ketika itu sebagaimana yang diterajui oleh Datuk Seri Anifah Aman dan ahli-ahli politik pembangkang ketika itu seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan wakil dari NGO termasuk peguam, Ansari Abdullah.

“RUU ini bukan sahaja perlu diperhalusi tetapi ia perlu memartabatkan kedudukan kedua-dua negeri ini selari dengan semangat MA63 yang ditandatangani sebelum ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.